Gelaran Datuk suntik semangat baharu kepada Ziela Jalil

February 6, 2016 | By | Reply More


ZIELA bersama anak-anaknya. – Foto Instagram

KUALA LUMPUR: Pelakon dan penerbit, Ziela Jalil, menyifatkan gelaran Datuk yang diterimanya sempena ulang tahun Hari Keputeraan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah, di Istana Abu Bakar, Pekan, Pahang hari ini sebagai pengiktirafan yang memberinya sinar untuk terus menjadi insan terbaik.

Ziela atau nama lengkapnya, Norzilah Abdul Jalil adalah antara tiga insan seni yang menerima darjah kebesaran, Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP), yang membawa gelaran Datuk, selain Pengarah Urusan Tall Order Sdn Bhd, Hans Isaac dan Presiden Eksekutif KRU Bros Sdn Bhd, Norman Abdul Halim.

Ibu kepada Puteri Julia Nabilah, Megat Jufri Nasrullah dan Ibrahim Junid Abdullah, yang juga penerbit bagi syarikat Pena Creative Pictures Sdn Bhd itu, terharu apabila usaha kerasnya mengangkat hasil karya seni diberi perhatian hingga menerima pengiktirafan yang cukup bermakna itu.

“Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi…saya tidak pernah terfikir untuk menerima penghargaan ini. Saya begitu menghargainya, malah tidak mampu untuk meluahkannya dengan kata-kata.

ZIELA dan anaknya, Puteri Julia. – Foto Instagram

ZIELA bersama Hans Isaac.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menjunjung kasih kepada Tuanku Baginda Sultan Pahang dan seluruh kerabat terutama Tengku Puteri Seri Kemala Pahang, Tengku Aishah kerana mengiktiraf saya yang hanya insan kerdil dalam bidang ini,” katanya.

Pelakon era 1990-an yang cukup terkenal dengan filem Mr Os, Tarzan Rimba, Driving School dan Ujang itu juga berharap, tahun 2016 akan membawa lebih banyak sinar untuk terus membentuknya menjadi insan yang terbaik kepada masyarakat, bangsa serta agama.

Ziela yang juga isteri kepada bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Allahyarham Tan Sri Megat Junid Megat Ayub, masih aktif berlakon selain menerbitkan drama untuk saluran televisyen tempatan.

Category: Hiburan

About the Author ()


Leave a Reply