Indah, Hael meterai janji

September 14, 2016 | By | Reply More


INDAH Ruhaila dan Hael Husaini.

KUALA LUMPUR : Perjanjian antara dua sahabat baik, Indah Ruhaila dan Hael Husaini akhirnya termeterai dengan kemunculan single baharu penyanyi wanita itu, yang berjudul Semua Untuk Cinta.

Indah atau nama sebenarnya Siti Ruhailah Hussin, 29, berkata, beliau sudah lama mengidam karya ciptaan teman rapatnya itu selepas tertarik dengan lagu Hati-Hati nyanyian Amira Othman nukilan Hael.

“Sebenarnya lagu Semua Untuk Cinta ini adalah perjanjian antara saya dan Hael yang akhirnya berjaya direalisasikan. Saya tertarik dengan melodi Hati-Hati, seterusnya meminta beliau menghasilkan single baharu saya.

“Kreativiti Hael berjaya ditonjolkan apabila dia dapat membuat lagu berdasarkan karakter penyanyi itu sendiri. Single ini juga sangat unik kerana menampilkan sisi peribadi saya sebagai penyanyi.

“Malah, ia menjadi lebih mudah kerana Hael adalah teman baik saya dan kami berkongsi minat sama dalam bidang muzik. Semua Untuk Cinta memaparkan kisah cinta secara menyeluruh dan individu itu menghargai setiap detik indah dalam hidupnya,” katanya.

Indah yang muncul menerusi album sulung pada tahun 2008 mengakui menyimpan segunung harapan bingkisan terbaharu itu mampu mengulangi kejayaan lagu Percayalah.

“Single terbaharu saya ini sudah mula dimainkan di stesen radio selepas dilancarkan di Youtube sejak Jumaat lalu dan Alhamdulillah ia mendapat sambutan memberangsangkan,” katanya.

Category: Hiburan

About the Author ()


Leave a Reply