Geopolitik Asia Barat masih goyah

June 19, 2017 | By | Reply More


KRISIS terbaru di Asia Barat berpunca daripada tindakan beberapa negara di Asia Barat antaranya Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain memutuskan hubungan diplomatik dan kerjasama perdagangan dengan Qatar. Krisis ini mengejutkan masyarakat dunia.

Masyarakat Islam juga sebahagiannya masih dalam keadaan terpinga-pinga dengan situasi baru ini tambahan berlaku pada Ramadan, bulan mulia dan penuh keberkatan. Kepemimpinan negara Qatar sendiri dalam satu kenyataan berasa amat terkejut kerana tindakan itu di luar jangkaan negara serantau.

Tekanan yang dihadapi Qatar kini menjelaskan realiti sebenar tahap perhubungan politik antara negara Teluk di Asia Barat hari ini. Jelas, kelainan dan perbezaan sikap serta pandangan terhadap sesuatu persoalan dan kepentingan dengan mudah boleh merenggangkan hubungan dan membawa padah.

Qatar menolak keras asas tekanan yang diberikan oleh negara-negara terbabit ke atasnya disebabkan oleh dasar luarnya yang didakwa longgar dan tidak sejajar dengan kepentingan rantau Teluk. Dasar luar Qatar dalam beberapa perkara tertentu didakwa menjadikan negara itu lubuk bagi pergerakan dan perkembangan gerakan ekstremisme. Lebih buruk lagi, Qatar dituduh menjana negara pendana kepada gerakan pelampau.

Dasar luar terbuka

Qatar menjelaskan dasar luar yang diamalkan mereka adalah terbuka dan pertengahan. Ia bertujuan bagi membolehkannya berhubungan secara langsung dan tidak langsung dengan semua pihak berkepentingan di rantau Asia Barat yang sentiasa bergolak.

Misalnya, selepas tamat peperangan di Afghanistan, Qatar menjadi negara yang menawarkan perhubungan antara kumpulan Taliban, pihak pemerintah Afghanistan dan Amerika Syarikat (AS). Peranan itu menunjukkan kesan tersendiri, terutama memelihara kestabilan pascaperang di Afghanistan.

Selepas peristiwa Arab Spring atau Revolusi Arab beberapa tahun lalu, Qatar mengambil sikap terbuka menyediakan ruang kepada proses dialog membabitkan pelbagai kumpulan berkepentingan, terutama dalam krisis di Mesir dan Syria. Qatar juga memberikan ruang dan dukungan dari pelbagai aspek kepada perjuangan rakyat Palestin dan mempunyai hubungan dua hala dengan pelbagai institusi dan kumpulan berkepentingan di Palestin.

Dasar luar negara yang terbuka dan sederhana membuka jalan perhubungan diplomatik yang positif. Dasar luar Qatar yang terbuka itu nyata mengundang syak wasangka tersendiri daripada kalangan jiran-jirannya. Hubungan baik Qatar dan Iran suatu yang jelas bertentangan dengan sikap dan pendirian sebahagian negara di rantau itu yang melihat Iran ialah ancaman kepada kestabilan geopolitik Asia Barat.

Iran didakwa terbabit secara langsung dan tidak langsung dengan krisis, terutama di Yaman dan Syria. Hubungan Arab Saudi dan Iran sedia diketahui renggang sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Mesir yang turut terbabit memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar mendakwa Doha menaungi aktivis politik Ikhwan Muslimin, kumpulan yang menjadi penentang kepada kepemimpinan politik Mesir sejak dahulu.

Hubungan baik Qatar dengan pergerakan pembebasan Palestin, iaitu Hamas juga tidak disenangi. Dalam satu analisis, dasar luar yang terbuka itu menjadikan Qatar antara negara tumpuan bagi sebahagian besar negara-negara Islam dan dunia. Ia menjadikan Qatar sebagai antara ‘pemain utama’ politik Asia Barat hari ini. Dengan kekuatan ekonomi yang dimiliki, peranan Qatar itu dihargai walaupun dari segi saiz dan jumlah penduduknya adalah kecil.

Peranan sebagai pemain utama politik pada keadaan tertentu ditanggapi terlalu menonjol. Qatar sebagai negara seolah berpangkat ‘adik’, dilihat oleh sesetengah negara telah terlajak langkah dalam tindakan politiknya hingga dirasakan mengenepikan, menggugat kepentingan negara ‘abang-abang’nya di rantau itu.

Hingga waktu ini, Qatar terus kekal dan tidak berganjak pendirian mengenai dasar luarnya apabila diminta untuk memutuskan hubungan dengan beberapa pergerakan politik yang dituduh ‘pengganas’ oleh sesetengah negara di rantau itu sebagai antara syarat penyelesaian krisis.

Kaedah dialog lerai krisis

Dalam erti kata lain, Qatar diberi pilihan untuk bersama dengan negara jirannya atau terus kekal dengan dasar persendiriannya. Usaha diplomatik bertambah rancak bagi mencari jalan tengah. Banyak negara, termasuk Malaysia menyeru supaya jalan dialog digunakan bagi meleraikan pertentangan pendapat antara mereka dan menamatkan krisis itu.

Namun, sejauh mana inisiatif diplomatik itu memberi kesan tidak dapat dipastikan. Krisis ini memecahkan negara Islam kepada pihak yang menentang, pihak yang menyokong dan pihak yang berkecuali terhadap Qatar. Kuwait, misalnya, banyak menjadi orang tengah memperhubungkan pihak yang bertentangan ke meja rundingan.

Turki pula memberi sokongan penuh kepada Qatar dengan mempertingkatkan dagangan dan keselamatan. Iran juga mengambil sikap seperti Turki. Krisis terbaru di Asia Barat ini jelas menunjukkan realiti geopolitik di rantau itu masih tidak menentu. Negara pemain utama politik di rantau Asia Barat juga bertambah jelas. Krisis ini menandakan harapan kepada keamanan dan kestabilan terdekat di rantau itu satu impian.

Dalam keadaan krisis di Iraq dan Syria yang masih belum berkesudahan, krisis Qatar menambahkan lagi debaran. Semua mengharapkan usaha diplomatik mencapai kejayaan dalam masa terdekat. Jalan keluar berbentuk tindakan kekerasan hendaklah dielakkan dan tidak sepatutnya berlaku.

Category: Kolumnis

About the Author ()


Leave a Reply