Gila-Gila berharga RM5,000 bukan pelik [METROTV]

June 19, 2017 | By | Reply More


BUKAN menghairankan apabila koleksi majalah humor Gila-Gila yang popular pada 1980-an ditawarkan pada harga hampir mencecah RM5,000.

Majalah humor nasional berkenaan kini sudah dianggap ‘rare’ dan bernilai selepas seorang peniaga dalam talian menawarkan dua kotak majalah itu pada harga RM4,900 termasuk beberapa majalah lama yang lain, bulan lalu.

Pengarah Urusan Gila-Gila, Jaafar Taib berkata, perkara itu tidak pelik kerana Gila-Gila sudah menjadi barangan sejarah yang mempunyai nilai sentimental tersendiri.

“Komik lain, contohnya Superman terbitan pertama pada 1938, dijual pada harga RM3 juta.

“Majalah Gila-Gila era 1976 hingga 90-an dijual dengan harga RM5,000 untuk dua kotak, itu masih belum luar biasa, kerana satu naskhah terbitan pertama dijual dengan harga RM8,000 pun boleh berlaku.

“Tidak mustahil, tahun demi tahun harga majalah Gila-Gila boleh melebihi RM10,000 untuk naskhah terbitan pertama,” katanya ketika ditemui pada program Raya Ria Bersama Gila-Gila di Paradigm Mall, Petaling Jaya, Sabtu lalu.

Antara terbitan awal majalah Gila-Gila.

Jaafar yang juga kartunis legenda majalah itu, Gila-Gila sudah hampir berusia 40 tahun serta menjadi peneraju humor nasional pertama dan masih kekal terbitannya.

Editor Gila-Gila, Mohd Affandi Ramli berkata, naskhah awal Gila-Gila yang dijual dengan harga mahal bukan menghairankan kerana Gila-Gila sudah menjadi barangan bernilai.

“Sudah menjadi budaya, jika disebut kartunis di Malaysia, orang akan terbayangkan Gila-Gila kerana cetusan industri kartun di negara ini bermula dengan majalah humor Gila-Gila. Jadi sebab itu ia mahal,” katanya yang lebih dikenali dengan nama pena Ronasina.

Menurutnya, karya Gila-Gila yang diterbitkan setiap bulan sejak 1976, mempunyai mesej tersendiri mengikut isu semasa dan sesuai dibaca semua lapisan masyarakat.

Pada program Raya Ria Bersama Gila-Gila, lima kartunis terkenal, Jaafar Taib, Aloy, Aza, Asan dan Roy bertemu peminat selain mengadakan sesi melukis karikatur secara percuma kepada pengunjung Paradigm Mall.

Category: Semasa

About the Author ()


Leave a Reply