Kontrak tamat, Aliff tumpu pada lakonan

June 19, 2017 | By | Reply More


PENYANYI, Aliff Aziz. – Foto Aziah Azmee

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Aliff Aziz, ingin menumpukan perhatiannya kepada lakonan buat masa sekarang kerana berasakan rezekinya lebih terbuka luas dalam bidang terbabit, saat ini.

Aliff berkata, memandangkan kontrak panjangnya, iaitu selama 10 tahun, baru saja tamat bersama syarikat Sony Music, beliau merancang untuk berehat seketika daripada bidang seni suara.

Enggan terburu-buru, Aliff turut menjelaskan beliau mahu mengambil sedikit waktu sebelum mengambil sebarang keputusan berhubung langkah seterusnya dalam arena muzik.

“Banyak perkara yang perlu dipertimbangkan kerana saya tidak mahu tersalah langkah pula nanti. Buat masa ini, saya lebih selesa bergerak aktif dalam bidang lakonan dan rasanya peluang sebagai pelakon lebih terbuka luas.

“Malah, ketika ini saya dapat lihat kehadiran ramai penyanyi baharu yang sedang menyinar, jadi tidak salah rasanya kita memberikan ruang kepada mereka untuk menonjolkan bakat dalam bidang terbabit. Saya bagaimanapun masih lagi menerima undangan membuat persembahan di sana-sini.

“Saya baru saja menamatkan kontrak bersama Sony Music, baru-baru ini, selepas bernaung di bawah pengurusan mereka selama 10 tahun. Jadi, saya menggunakan kesempatan ini untuk berfikir sebaiknya untuk kerjaya sebagai penyanyi,” kata Aliff.

Penyanyi yang kini dikenali dengan lagu duet bersama Mira Filzah berjudul Sandar Padaku itu berkata demikian ketika ditemui pada program iftar bersama Perdana Menteri di kediaman beliau di Sri Perdana, Putrajaya.

Selain itu, Aliff berhasrat untuk mempertimbangkan idea banyak pihak yang mencadangkan beliau menghasilkan lagu duet bersama adiknya, Aisyah.

“Sebelum ini, kami masing-masing terikat dengan komitmen tersendiri kerana bernaung di bawah pengurusan berbeza. Insya-Allah, jika tiada aral melintang, saya ingin berduet bersama adik saya kerana ramai yang menyukai gandingan kami,” kata Aliff.

Category: Hiburan

About the Author ()


Leave a Reply