Pacu perbankan

June 19, 2017 | By | Reply More


Kuala Lumpur: Fintech perlu dilihat sebagai peluang untuk menguasai pasaran baru dan bukan ancaman kepada industri perbankan Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif HSBC Bank Malaysia Mukhtar Hussain berkata, gelombang baru teknologi kewangan itu yang lebih dikenali sebagai fintech sering digambarkan sebagai kuasa yang menggugat bank dengan pesaing baru, pantas dan bijak.

“Di peringkat global, fintech mengubah cara orang ramai dan syarikat berhubung dengan bank mereka, dan bagaimana bank menguruskan operasi mereka.

“Fintech melengkapi dan bukan mengancam institusi perbankan. Perbankan sentiasa berkaitan teknologi. Oleh itu, inovasi teknologi kewangan hari ini melambangkan evolusi, berbanding revolusi bagi perbankan tradisional.

“Fintech seharusnya berperanan untuk menambah dan mempelbagaikan sistem kewangan sedia ada dan bukan menggantikan atau mengganggunya,” katanya dalam kenyataan, di sini, semalam.

Menurutnya, pasaran fintech menarik peningkatan aktiviti dalam pelaburan untuk beberapa tahun ini, terutama oleh syarikat modal teroka yang ingin menyokong syarikat pemula dalam sektor berkenaan.

“Di rantau Asia Pasifik saja, pelaburan dalam penggiat fintech meningkat daripada AS$103 juta pada 2010 kepada AS$4.3 bilion pada 2015. Selain itu, dalam tempoh tujuh bulan pertama 2016, pelaburan di rantau ini mencecah AS$9.6 bilion, meningkat daripada angka pada 2015.

“Di rantau ASEAN khususnya, ekonomi Internet dijangka berkembang kepada AS$200 bilion menjelang 2025 dan pengguna Internet hampir dua kali ganda kepada 480 juta menjelang 2020.

“Fintech akan mempunyai peranan yang penting untuk dimainkan dalam memacu pertumbuhan ini dan institusi kewangan ASEAN perlu menerima gelombang fintech atau menghadapi risiko kehilangan daya saing. Bagaimanapun, untuk menyatakan fintech mengorbankan perbankan tradisional adalah keterlaluan,” katanya.

Menurutnya, fintech pada masa ini hanya menumpukan kepada sebahagian kecil daripada spektrum perkhidmatan kewangan.

“Banyak tumpuan diberikan kepada perkhidmatan perbankan runcit – pinjaman dan pembiayaan – bersama dengan produk dan perkhidmatan berkaitan pembayaran, di mana mudah alih dan e-dagang membawa kepada permintaan sebenar daripada pengguna.

“Dengan fintech meraih momentum yang besar, bank kini melihat kepada bagaimana mereka dapat bekerjasama atau membuat pembaharuan dengan syarikat pemula, berbanding bersaing secara langsung,” katanya.

Category: Bisnes

About the Author ()


Leave a Reply