Pasangan bisu terima rumah baharu

June 19, 2017 | By | Reply More


JEMPOL: Sepasang suami isteri bisu terharu apabila menerima sumbangan Aidilfitri yang amat bermakna berupa sebuah rumah baharu yang lebih selesa dan cantik berbanding rumah asal mereka.

Perasaan itu dizahirkan Muhammad Isa, 52, dan diterjemahkan abang sulungnya Abdul Ghafar Isa, 57, selepas majlis penyerahan projek Baiti Jannati Tenaga Nasional Berhad (TNB) peringkat Negeri Sembilan di sini, hari ini.

“Dia melahirkan perasaan amat gembira kerana tidak menyangka akan menerima sebuah rumah yang selesa dan cantik,” kata Abdul Ghafar kepada BERNAMA di sini.

Muhammad, yang merupakan anak keempat daripada 10 beradik, bekerja sebagai seorang tukang gunting rambut di Kampung Serting Tengah, Batu Kikir di sini.

“Dia (Muhammad) asalnya boleh bercakap namun, pada usia empat tahun dia diserang demam panas dan kemudian menjadi bisu. Isterinya juga bisu dan mereka belum dikurniakan anak setakat ini,” kata Abdul Ghafar.

Penyerahan kunci rumah tiga bilik itu disempurnakan Anggota Dewan Undangan Negeri Serting, Datuk Shamsulkahar Mohd Deli yang juga EXCO Pendidikan dan Kesihatan negeri.

Turut hadir Pengurus Besar (Perkhidmatan Pelanggan) TNB Negeri Sembilan, Wan Ishak Soed.

Sementara itu, Wan Ishak berkata projek Baiti Jannati atau Rumahku Syurgaku adalah program tanggungjawab sosial korporat TNB bagi menzahirkan saranan kerajaan supaya syarikat berkaitan kerajaan (GLC) turut membantu kerajaan untuk membaiki rumah kediaman golongan sasaran seperti Orang Kurang Upaya, ibu tunggal, warga emas dan penduduk miskin yang tinggal di luar bandar.

“Tahun ini, TNB memperuntukkan RM5.8 juta untuk melaksanakan program Baiti Jannati iaitu dengan membiayai atau membina baru 117 buah rumah penerima yang layak di seluruh semenanjung.

“Bagi peringkat Negeri Sembilan, sebanyak 24 rumah dibina sejak 2008 dengan kos RM830,000. Tahun ini, seramai tiga penerima layak dikenal pasti untuk dibantu melalui program ini iaitu di Serting, Rembau dan Port Dickson,” katanya. – BERNAMA

Category: Semasa

About the Author ()


Leave a Reply