Pembangkang syok sendiri lantik PM

June 19, 2017 | By | Reply More


TINDAKAN parti pembangkang sanggup bermesyuarat untuk melantik “Perdana Menteri’  dianggap syok sendiri  dan tidak masuk akal sehingga ada yang mencalonkan diri sendiri untuk menduduki jawatan itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, pembangkang kini dalam keadaan kecelaruan termasuk soal pelantikan Perdana Menteri sehingga ada yang menawar diri untuk berada pada kedudukan itu.

Menurutnya, dalam sistem demokrasi berparlimen memang ramai orang ingin menjadi Perdana Menteri sedangkan tiada sesiapa mempunyai hak untuk menawar diri sendiri menjadi Perdana Menteri.

“Datuk Seri Anwar Ibrahim pun kata dia tarik diri daripada calon Perdana Menteri, jadi kita mahu dengar kata putus mereka siapa yang akan dilantik.

“Hakikatnya dalam demokrasi berparlimen sesiapa pun boleh jadi Perdana Menteri tetapi bagaimanapun parti yang mendapat kerusi terbanyak dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lah akan menjadi Perdana Menteri dan sejak merdeka siapa yang jadi (Perdana Menteri)… sudah tentulah UMNO kerana paling banyak kerusi dimenangi,” katanya ketika berucap pada Majlis Perdana Menteri Bersama Kepimpinan Akar Umbi UMNO Perlis, di Dewan 2020, di Kangar, hari ini.

Najib berkata, UMNO adalah parti terkuat dalam kerajaan yang dibentuk selepas PRU ke-13 iaitu 88 kerusi manakala Barisan Nasional (BN) pula 134 kerusi daripada 222 kerusi dalam Parlimen.

“Jadi mereka (pembangkang) tidak ada hak hendak mencalonkan siapa yang akan menjadi Perdana Menteri kerana ia bergantung kepada PRU.

“Jika PRU nanti kalau ditakdirkan BN ada kerusi terbanyak sekali lagi Presiden UMNO akan menjadi Perdana Menteri… Insya-Allah  UMNO akan mewakili kerusi terbanyak dalam BN dan tidak masuk akal apabila ada si polan si polan yang bercakap soal jawatan Perdana Menteri termasuk menawar diri,” katanya.

Terdahulu pada program itu, beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM6 juta iaitu RM3 juta untuk membaiki rumah rosak dan selebihnya untuk membaiki jalan yang rosak di negeri ini.

Category: Semasa

About the Author ()


Leave a Reply