Porsche catat hatrik

June 20, 2017 | By | Reply More


Le Mans, Perancis: Porsche menjuarai perlumbaan 24 Jam Le Mans untuk tahun ketiga berturut-turut kelmarin dengan menguasai saingan sejak awal yang turut menyaksikan pemandu lain gagal menamatkan perlumbaan termasuk pasukan pilihan awal Toyota.

Kemenangan pasukan pengeluar dari Jerman buat kali ke-19 di Litar de la Sarthe itu menamatkan aksi penuh drama apabila dua kereta Toyota gagal menamatkan perlumbaan dan kereta pertama Porsche juga mengalami masalah ketika mendahului perlumbaan, dengan perlumbaan berbaki empat jam.

Situasi itu menyebabkan Porsche kedua yang dipandu bersama pelumba Jerman Timo Bernhard serta dua pelumba New Zealand Brendon Hartley dan Earl Bamber, kembali berada dalam saingan selepas ketinggalan pada perlumbaan kelmarin.

Peluang trio itu dilihat sukar apabila kereta mereka berdepan masalah dan berada 90 minit dalam garaj sebelum menyertai kembali perlumbaan, ketinggalan 22 pusingan berbanding pendahulu Toyota.

“Ia perlumbaan paling kejam atau mungkin perlumbaan terbaik. Anda tidak akan tahu,” kata Bernhard, juara bersama Audi pada 2010, yang menjadi pemandu terakhir yang membawa mereka ke garisan penamat.

“Setiap pusingan dikira, untuk kembali ke P1.

“Sasarannya adalah untuk mengutip mata pengeluar dan pemandu maksimum,” katanya. “Kemudian pagi ini, kami menyedari kami mampu melakukan lebih lagi, mungkin hingga ke podium.”

Bamber muncul juara bersama Porsche pada 2015 tetapi ia kemenangan pertama buat Hartley, satu-satunya pemandu daripada dua kru yang masih belum mengecapi kemenangan keseluruhan di Le Mans.

Category: Sukan

About the Author ()


Leave a Reply