SSPN-i Plus beri pelbagai kelebihan

August 12, 2017 | By | Reply More


KUALA LUMPUR: Amalan menabung perlu diterapkan dalam diri ibu bapa ketika anak masih kecil lagi bagi memastikan mereka tidak dibebani hutang apabila melanjutkan pengajian di peringkat yang lebih tinggi.

Pelbagai skim diperkenalkan ketika ini bagi membantu ibubapa membuat persiapan dengan tawaran lebih menarik.

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), menyediakan pelbagai bentuk galakan penabungan bagi mendidik minda masyarakat supaya memulakan simpanan ketika anak masih kecil lagi bagi mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman.

Selain produk simpanan dikenali sebagai Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i), PTPTN turut mempunyai produk SSPN-i Plus yang dilancarkan sejak 2015.

Kedua-dua produk ini adalah pelan simpanan patuh syariah untuk perancangan kewangan bagi pendidikan tinggi.

Menyimpan dalam SSPN-i Plus memberi banyak kelebihan dan ia diakui ibu bapa yang mula merasai nikmatnya.

Simpanan untuk masa depan

Kelebihan SSPN-i Plus ini diakui Wan Asron Wan Jusoh, seorang kakitangan swasta di Kuantan, Pahang yang memilih pakej Intan dengan simpanan sebanyak RM150 sebulan untuk masa depan anaknya.

Usaha untuk menyimpan itu didorong oleh isterinya, Juliana Mohammad, 40, yang tidak mahu anak mereka melalui kesukaran pada masa akan datang.

“Saya mempunyai lima anak dan mengambil pakej Intan untuk setiap anak iaitu setiap orang saya simpan RM30 sebulan.

“Saya tertarik dengan produk PTPTN kerana ia menggabungkan simpanan pendidikan dan perlindungan takaful.

“Selain simpanan, dividennya juga kompetitif serta mendapat pelepasan taksiran cukai pendapatan.

“Sebagai ibu bapa kita perlu membuat perancangan untuk masa depan anak yang perlu mempunyai simpanan daripada awal supaya mereka tidak terikat dengan bebanan hutang apabila tamat pengajian,” katanya yang juga pendeposit bertuah berjaya memenangi tempat pertama Cabutan Wow! SSPN-i Plus Tahunan 2016/2017.

Sementara itu, pegawai perubatan Hospital Bintulu, Sarawak, Dr Tan Teik Guan berkata, beliau mengetahui mengenai SSPN-i Plus secara tidak sengaja ketika sedang menunggu di Terminal Bersepadu Selatan (TBS).

“Ketika sedang menunggu di TBS saya lihat ada kaunter PTPTN dan saya tidak lepaskan peluang untuk mendapatkan penerangan mengenai simpanan yang disediakan.

“Saya sangat berpuas hati dengan penerangan yang diberikan oleh pegawai bertugas dan yakin dengan kelebihan SSPN-i Plus.

“Saya rasa skim ini terjamin dan terus mendaftar untuk masa depan dua orang anak saya.

Selamat, sangat bagus

“Nasihat saya kepada ibu bapa, rebutlah peluang ini dengan menyimpan di SSPN-i Plus kerana ia selamat dan sangat bagus,” kata pemenang kedua Cabutan Wow! SSPN-i Plus Tahunan 2016/2017.

Turut tertarik dengan skim ini adalah Syahrul Affandi Saidi, 37 yang mula menyimpan untuk anaknya, Nawal Sofia yang baru berusia setahun lapan bulan.

“Saya tertarik dengan skim ini selepas melihat manfaatnya menerusi media sosial.

“SSPN-i Plus adalah satu bentuk tabungan yang sangat istimewa dan tidak dapat diperoleh daripada skim yang lain.

“Antara keistimewaannya adalah kerana skim patuh syariah dan mempunyai pelepasan taksiran cukai sehingga RM12,000,” kata pemenang tempat ketiga Cabutan Wow! SSPN-i Plus Tahunan 2016/2017.

Category: Semasa

About the Author ()


Leave a Reply