Hubungan erat Najib-Trump manfaat pelaburan kedua negara

September 13, 2017 | By | Reply More


KUALA LUMPUR: Hubungan erat di antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump akan memastikan peluang pelaburan berterusan yang memanfaatkan kedua-dua negara.

Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun, berkata lawatan rasmi Perdana Menteri ke AS atas jemputan Trump menyaksikan banyak pencapaian membanggakan diraih dalam pelbagai aspek.

Katanya, AS ketika ini adalah rakan dagang Malaysia ketiga terbesar dengan eksport ke negara berkenaan mencecah AS$33 bilion.

“Hubungan erat antara Perdana Menteri dengan Trump memastikan peluang pelaburan berterusan yang memanfaatkan kedua-dua negara.

“Selain itu, Perdana Menteri juga membawa objektif yang jelas iaitu menyebarkan ajaran Islam yang sederhana dan progresif.

Dengan dunia berterusan menghadapi ancaman kebangkitan pelampau Daesh, Malaysia akan menjadi rakan kepada kuasa besar dunia dalam menegakkan identiti sebenar agama Islam.

“Sudah tentu, pendekatan Wassatiyyah yang diperkenalkan Perdana Menteri kepada Malaysia akan turut dibawa ke peringkat global,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khairul Azuan berkata, Perdana Menteri juga menunaikan janjinya untuk membawa ke depan kebimbangan mengenai penindasan berterusan terhadap masyarakat Rohingya.

Katanya, Malaysia memainkan peranan penting dalam menjuarai suara mangsa yang tertindas itu.

“Selain itu, kerjasama erat dari segi ekonomi dan sosial di antara Malaysia bersama AS ketika ini adalah bukti kepada kestabilan hubungan yang terjalin selama 60 tahun antara kedua-dua negara,” katanya.

Merujuk kepada kenyataan dibuat Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berhubung lawatan Najib ke AS, Khairul Azuan menyifatkannya sebagai terdesak.

Katanya, Mukhriz dan Rafizi, yang kini berdepan penolakan dalaman daripada pemimpin parti masing-masing, kelihatan terdesak dalam membuat kenyataan yang dilihat berfikiran rendah, sensasi dan tidak berfakta untuk kekal relevan.

Category: Semasa

About the Author ()


Leave a Reply