Melaka cuba ikat tiga pemain B-22

September 13, 2017 | By | Reply More


SEKURANG-kurangnya tiga pemain bawah 22 tahun (B-22) kebangsaan berada dalam radar Melaka United bagi mengharungi saingan Liga Malaysia musim depan.

Pengurus Melaka, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi berkata, tiga pemain terbabit beraksi di posisi pertahanan, tengah dan serangan dan usaha untuk membawa masuk ketiga-tiga pemain itu sedang dijalankan.

Katanya, kecemerlangan trio berkenaan ketika bersama pasukan Sukan SEA 2017 menjadi antara faktor mengapa Melaka berminat menyenaraikan mereka bersama skuad Hang Tuah untuk musim depan.

Menurutnya, kredibiliti dan keupayaan mereka mampu menjadi aset buat pasukan yang berhasrat bersaing secara lebih agresif pada saingan musim 2018.

“Sememangnya pemain seperti itu yang mahu kami senaraikan. Malah, kami merancang untuk menyenaraikan lebih ramai pemain muda bersama pasukan ini sekali gus memiliki misi besar untuk memantapkan pasukan dalam tempoh tiga hingga empat tahun bermula dengan menampilkan pemain muda daripada skuad musim 2017.

“Namun, semuanya masih terlalu awal namun cukup dinyatakan bahawa kami berhasrat memancing mereka. Apapun, fokus kini terarah kepada usaha mengekalkan pasukan di pentas Liga Super dan perlawanan suku akhir Piala Malaysia berdepan Johor Darul Ta’zim (Johor DT), Jumaat ini,” katanya yang masih merahsiakan nama pemain yang dimaksudkan.

Beliau berkata, tempoh rehat panjang sebelum liga musim depan bermula menjanjikan pelbagai rentetan perjalanan yang sukar dijangka terutama untuk mengekalkan pemain muda berkualiti serta menampilkan muka baru berpotensi selain barisan kejurulatihan yang masih belum dipastikan.

Berikutan itu, beberapa pelan akan diatur terutama persediaan menyeluruh dan post mortem kekuatan dan perjalanan pasukan musim ini.

Sebelum ini, penyerang B-22, N Thanabalan turut dikaitkan peminat untuk menyarung jersi Melaka musim depan, namun peledak berbisa skuad Sukan SEA terbabit mahu kembali bersama Negeri Sembilan kerana masih mempunyai kontrak dengan PBNS.

Category: Sukan

About the Author ()


Leave a Reply