"Bukan mudah menentang komunis"

September 13, 2017 | By | Reply More


PAPAR: “Belia perlu hargai nikmat kemerdekaan dan jangan sekali-kali leka, kita perlu sentiasa memastikan keamanan dikecapi ketika ini berkekalan sampai bila-bila.”

Demikian ingatan Ahmad Alias, 54, anak kelahiran Kampung Brunei Kimanis, di sini, yang juga bekas anggota Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) yang pernah melalui pengalaman bertempur dengan pengganas komunis di Hutan Melintang, Perak, lebih 30 tahun lalu.

Beliau adalah antara tujuh penerima Anugerah Tokoh Hari Kebangsaan 2017 sempena Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Daerah Papar, di sini, hari ini.

Ahmad yang berkhidmat selama 10 tahun dalam tentera sekitar 1980-an mengakui terharu apabila diberi anugerah itu sebagai menghargai jasa beliau yang pernah mengangkat senjata dan mempertaruhkan nyawa demi mempertahankan kedaulatan negara,

”Hampir 20 tahun saya bersara sebagai tentera dan ini kali pertama menerima anugerah sebegini. ‘Saya sangat menghargai pemberian anugerah ini khususnya kepada golongan veteran pasukan keselamatan negara seperti kami.

”Perjuangan saya dalam pasukan RAMD menentang komunis dulu bukan mudah, saya ditempatkan di beberapa tempat seperti Hutan Melintang di Perak, selain Janda Baik, Karak dan Bentong di Pahang.

“Paling tak dapat lupa apabila saya dan pasukan berdepan komunis. Walaupun menyedari nyawa bagaikan di hujung tanduk kerana pertempuran sengit dan komunis begitu agresif, memikirkan mengenai anak bangsa, saya gagahkan diri berjuang habis-habisan,” kata bekas tentera berpangkat lans koperal itu kepada BH.

Program sambutan itu disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN ) Pantai Manis, Datuk Abdul Rahim Ismail dan turut dihadiri Timbalan Menteri Kerja Raya merangkap Ahli Parlimen Papar, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Sementara itu, Abdul Rahim berkata, ‘Anugerah Tokoh Hari Kebangsaan ini mula diperkenalkan sejak tahun 2015 khusus kepada golongan veteran pasukan keselamatan yang berasal dari daerah ini.

”Ini bagi mengenang jasa ahli pasukan keselamatan seperti tentera dan polis yang berkhidmat khususnya ketika zaman sebelum kemerdekaan.

“Walaupun anugerah ini tidak seberapa jika dibandingkan jasa mereka, ia menjadi antara cara untuk kita menunjukkan penghargaan kepada mereka,” katanya.

Seramai 41 kontinjen menyertai perarakan Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Daerah Papar terdiri agensi kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi pengajian tinggi (IPT) serta sekolah dari daerah ini.

Category: Semasa

About the Author ()


Leave a Reply