Separuh akhir milik siapa?

September 13, 2017 | By | Reply More


SEJAK saingan Piala Malaysia bagi musim 2017 membuka tirainya pada 4 Julai lalu, kini lengkaplah teka-teki mengenai pasukan manakah yang akan beraksi di pusingan suku akhir, sekali gus mencuri tiket ke peringkat empat terbaik.

Menurut legenda bola sepak negara, Bakri Ibni, lapan pasukan yang berjaya melepasi peringkat kumpulan iaitu FELDA United, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC), Kedah, Selangor, Johor DT, Melaka United, Pahang dan Perak bakal menyajikan persaingan sengit untuk memburu kemenangan.

Jelas Bakri, beliau percaya, juara Liga Super empat kali berturut-turut iaitu Johor DT, Selangor, Pahang dan PKNP FC memiliki kelebihan tersendiri untuk melepasi halangan suku akhir yang dijadualkan bermula Jumaat dan Sabtu ini.

BAKRI IBNI. -Foto EIZAIRI SHAMSUDIN

“Untuk pertemuan antara Selangor dan Kedah, saya lihat skuad kendalian Nidzam Adzha Yusoff agak muram di pertengahan Liga Super. Ia berbeza dengan Selangor yang menunjukkan peningkatan baik sejak akhir-akhir ini.

“Malah, mentaliti pemain Selangor tampak lebih kuat dan saya rasa skuad Red Giants mampu mara ke separuh akhir,” katanya kepada Arena Metro, semalam.

Ujarnya lagi, satu lagi pertembungan menarik membabitkan naib juara Piala FA musim ini iaitu Pahang dan bekas juara Piala Malaysia sebanyak tujuh kali, Perak.

“Pahang pada awal musim ini bermula baik, tapi agak merudum ketika ini. Begitupun, berdasarkan pemerhatian saya, keampuhan jentera serangan skuad Tok Gajah akan meranapkan impian Perak kerana barisan pertahanan mereka agak longgar.

“Bagi dua aksi lain, saya tidak nampak mengapa Johor DT harus kalah kepada Melaka United yang diketahui mempunyai ramai pemain berkualiti.

“Namun, kejutan mungkin berlaku dalam aksi membabitkan antara FELDA United dan PKNP FC di mana saya memilih kelab dari Perak itu untuk mara ke pusingan berikutnya.

“Ia berasaskan kepada semangat juang pemain muda yang beraksi baik sepanjang musim ini. Bukan nak kata FELDA tidak bagus, tetapi keinginan dan kemahuan tinggi jelas terpampang di wajah pasukan PKNP untuk cuba melakukan kejutan,” katanya.

Aksi kedua suku akhir Piala Malaysia pula bakal berlangsung pada 23 dan 24 September ini dengan giliran Perak, Johor DT, Kedah dan PKNP menjadi tuan rumah.

Category: Sukan

About the Author ()


Leave a Reply