Tunku Soraya ziarah Makam Diraja Langgar

September 13, 2017 | By | Reply More


ALOR SETAR: Rakyat negeri ini mengambil kesempatan menziarah makam Almarhum Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mua’adzam Shah, di Makam Diraja Langgar, hari ini.

Tinjauan BH mendapati kawasan makam mula dipenuhi dengan pengunjung yang membaca surah Yassin dan menitip doa kepada Almarhum seawal jam 8 pagi.

Turut berangkat, puteri sulung Almarhum, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim, yang meluangkan masa kira-kira sejam dengan membaca surah Yassin.

Hadir sama, bekas Mufti Kedah, Datuk Paduka Syeikh Muhamad Baderudin Ahmad manakala empat guru agama membaca al-Quran di makam sejak jam 6 petang semalam.

Marzita Md Isa, 48, dari Jitra, mengambil peluang menziarahi makam baginda selepas tidak sempat memberi penghormatan terakhir di Istana Anak Bukit kerana demam, semalam.

Hari ini, beliau bersama bapanya, Md Isa Shaari, 74, mengunjungi makam Almarhum Tuanku.

“Saya membesar di bawah pentadbiran Almarhum Tuanku, seorang Sultan yang mudah didekati walaupun saya hanya berpeluang melihat baginda dari jauh.

“Perwatakan baginda menyatukan hati rakyat Kedah dan negara apabila baginda satu-satunya raja yang dua kali ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Suri rumah, Azlin Abu Bakar, 40, dari Lorong Seri, di sini, memilih untuk menziarahi makam baginda hari ini bagi mengelak bersesak dengan orang ramai semalam.

“Saya teringat senyuman baginda ketika melambai kepada rakyat sewaktu keberangkatan pulang ke sini selepas menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-14.

“Cara Almarhum Tuanku membuatkan rakyat berasa dekat,” katanya.

Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah yang diputerakan pada 28 November 1927, disahkan mangkat di Istana Anak Bukit pada jam 2.30 petang kelmarin.

Category: Semasa

About the Author ()


Leave a Reply