Haris dilantik penolong pengurus Liga Super Kedah

10



ALOR SETAR: Pengurus Pasukan Piala Belia Bawah 19 Kedah, Haris Che Mat yang dilantik menjadi Penolong Pengurus Skuad Liga Super Kedah berjanji akan memberikan yang terbaik dalam khidmatnya ke arah membawa pasukan Kedah ke tahap yang lebih tinggi.

Mengakui tugas tersebut agar mencabar, beliau berharap akan mendapat kerjasama yang baik daripada pengurusan pasukan dan pemain kerana tahu pasukan Lang Merah bukanlah calang-calang dalam arena bola sepak negara.

“Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) merupakan pasukan yang cukup hebat dan saya terima amanah ini dengan harapan yang tinggi agar Kedah terus dapat menjulang lebih banyak piala selepas ini,” katanya ketika mengulas mengenai pelantikannya yang berkuat kuasa 21 Dis lepas.

Jawatan tersebut sebelum ini disandang Farid Ahmad.

Haris berkata beliau menerima surat rasmi mengenai pelantikan itu beberapa hari lepas dan yakin keputusan itu dibuat KFA setelah melihat pencapaiannya dalam pembangunan bola sepak negeri.

Haris, 47, merupakan antara orang kuat dalam pembangunan pasukan belia Kedah malah baru-baru ini berjaya membawa pasukan Piala Belia Bawah 19 tahun negeri itu muncul sebagai juara.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat KFA Datuk Aminuddin Omar berkata pelantikan Haris dipersetujui sendiri oleh Presiden KFA iaitu Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, melihat kepada prestasi cemerlang Haris sebelum ini.

Ditanya mengenai jawatan pengurus KFA pula, Aminuddin berkata pihaknya setakat ini masih belum menerima surat pelantikan rasmi daripada Datuk Jeffery Low dan berkata perkara itu akan dimuktamadkan dalam tempoh terdekat.

— BERNAMA





Source link