Petronas Carigali didenda gagal sediakan sistem kerja selamat

4


Petronas Carigali Sdn Bhd didenda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen di Kemaman semalam selepas didapati bersalah kerana gagal mengadakan sistem kerja selamat.

Hakim Badrul Munir Mohd Hamdy juga mengarahkan syarikat berkenaan membayar kos pendakwaan berjumlah RM5,000.

Menurut satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, dalam pertuduhan tersebut, syarikat berkenaan didapati telah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 15(1) Akta Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

Katanya, pihak pendakwaan berjaya membuktikan semua elemen-elemen pertuduhan dan dengan yang demikian suatu kes ‘prima facie’ telah berjaya diwujudkan untuk kes ini.

Ia berdasarkan satu siasatan yang dijalankan sepasukan pegawai dari Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negeri Terengganu yang diketuai Pegawai Penyiasat Ir. Lim Yee Tat ekoran satu kes kemalangan maut di Petronas Carigali Sdn. Bhd. Onshore Gas Terminal, Kerteh, Kemaman, Terengganu pada 13 Mac 2014.

Hasil siasatan mendapati syarikat Petronas Carigali Sdn. Bhd. sebagai pemunya dan penghuni di Onshore Gas Terminal, Kerteh, Kemaman, Terengganu telah gagal untuk memastikan kewajipannya, setakat yang praktik, keselamatan, kesihatan dan kebajikan semasa bekerja bagi pekerjanya iaitu Md Noor Yusof.

“Syarikat berkenaan juga gagal mengadakan sistem kerja selamat bagi kerja-kerja “remove and install grating” di platform tersebut sehingga menyebabkan kemalangan ke atas Md Noor,” menurut kenyataan itu.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Terengganu, Nik Ahmad Marzuki Nik Mohamad.

Petronas Carigali Sdn Bhd diwakili K.Ragunath.

– Bernama





Source link