Susu tiruan dirampas tidak ikut kualiti standard Akta Makanan – KKM

16



KUALA LUMPUR: Sampel daripada 210 kotak susu rumusan bayi tiruan yang dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) di lima lokasi berbeza di Johor tempoh hari didapati tidak mengikut standard kualiti yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).

Bagaimanapun, Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata produk berkenaan masih lagi selamat.

“KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan bekerjasama rapat dengan KPDNKK dan telah mengambil sampel produk terbabit untuk analisis oleh Makmal Keselamatan dan Kualiti Makanan di bawah KKM dan Jabatan Kimia Malaysia bagi mengesahkan keselamatan produk berkenaan.

“Hasil analisis mendapati produk tersebut adalah selamat. Walau bagaimanapun, produk berkenaan tidak mencapai standard kualiti yang ditetapkan dalam Peraturan-Peraturan Makanan 1985 di bawah Akta Makanan 1983 iaitu dari segi kandungan lemak,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

BACA: Susu tiruan: KPDNKK tidak perlu tunggu laporan kajian, boleh rampas jika tiruan

BACA: Susu tiruan: Tiada laporan selain Johor, KPDNKK masih tunggu laporan kimia

Katanya, KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna.

Justeru, pengguna yang mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat.

Pengguan juga boleh melayari atau melalui laman sesawang Sistem Pengurusan Aduan Awam (SisPAA) KKM atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM). 





Source link