'Ada media cuba aibkan pejabat ketua menteri'

7


Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menyelar Utusan Malaysia dan beberapa media yang didakwa sengaja mengaibkan kerajaan negeri itu dengan menerbitkan “laporan palsu” berkenaan projek terowong dasar laut.

Lim berkata, ia jelas menunjukkan BN menggunakan media untuk merosakkan imejnya dan kerajaan pimpinannya.

“Mereka jelas tidak bermoral, tidak ada akhlak daripada segi kewartawanan dan juga memperdagangkan (laporan berita) untuk menipu dan fitnah,” kata Lim dalam sidang media di Komtar hari ini.

“Mereka memfitnah dan menipu. Saya rasa mereka tentu sangat bangga dengan kejayaan mereka kerana kerap membuat fitnah dan laporan palsu,” tambahnya.

Lim merujuk laporan Utusan Malaysia semalam yang menyatakan pejabat Lim ditutup susulan khabar angin yang mendakwa beliau ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung projek terowong dasar laut.

Utusan berkata wartawan gagal memasuki pejabat ketua menteri itu yang terletak di tingkat 28 di Komtar, dan mereka yang cuba masuk dihalang oleh pengawal keselamatan.

“Kita tidak pernah tutup pejabat ketua menteri. Saya masih bertugas sehingga petang. Sekitar pukul 4 hingga 5 petang, saya ada mesyuarat dengan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohamed Sabu dan Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution berkenaan projek bank makanan,” katanya.

“Kakitangan saya juga kata mereka tidak pernah bercakap dengan media Utusan. Jadi laporan ini tidak benar sama sekali,” katanya.

“Jika kita berjumpa dan bercakap dengan Mat Sabu atau Saifuddin, takkan kita nak bercakap secara terbuka,” soalnya.

Lim turut berkata SPRM tidak ada diserbu oleh SPRM.

SPRM menyerbu beberapa agensi dan syarikat yang berkaitan projek terowong dasar laut berkenaan sejak Selasa lalu. Dua individu berpangkat Datuk turut direman dalam serbuan itu.

Semalam, Lim meninggalkan bangunan Komtar pukul 6 petangbersama pemimpin DAP dan wartawan menuju ke kedai kopi terkenal Toh Soon Cafe di Jalan Campbell untuk menjamu minum kopi dan roti bakar.

“Tolong jangan aibkan pejabat ketua menteri atau kerajaan negeri dengan laporan seperti ini. Ini jelas satu usaha untuk mengaibkan nama kerajaan negeri menjelasng pilihan raya umum.

“Saya tidak terkejut jika ada laporan palsu sedemikian terutamanya menjelang pilihan raya umum,” katanya.

Lim menggesa Utusan menarik balik laporan berkenaan dan menggesa media tidak bermain politik dengan taktik kotor jika ingin kekal sebagai akhbar.

Lim kemudian mengkritik tiga lagi akhbar mesra BN iaitu The Star, New Strait Times dan Berita Harian – kerana memutar belit laporan berkenaan projek terowong dasar laut.

[Baca berita penuh]





Source link