Allardyce bidas cara pemain Everton

8



PENGURUS Everton, Sam Allardyce, berang dengan sikap anak-anak buahnya selepas dibelasah 4-0 oleh Tottenham Hotspur, awal pagi tadi.

Skuad Toffees mempamerkan persembahan meyakinkan dalam babak pertama di Stadium Wembley walaupun lawan meraih jaringan pertama pada minit ke-26 menerusi Son Heung-Min.

Bagaimanapun, sebaik sahaja Harry Kane menjaringkan gol kedua, barisan pemain yang diturunkan Allardyce seperti hilang punca dan tidak menunjukkan semangat untuk melawan.

Walaupun Spurs merakamkan kemenangan hasil permainan yang kemas dan kebijaksanaan dalam mengeksploitasi kesilapan lawan, Allardyce menganggap pasukannya tewas akibat sikap cepat putus asa.

“Saya rasa kami berpendapat bahawa gol kedua Spurs adalah ofsaid, sama seperti jaringan Wayne Rooney yang dibatalkan sebelum itu.

“Apabila lawan menjaringkan gol kedua, ia membunuh semangat kami tetapi pemain-pemain tidak boleh terus mengalah.

“Terlalu ramai pemain yang mengambil keputusan untuk membiarkan Tottenham mengawal bola dengan mudah dan Jordan Pickford pasti lebih merasainya.

“Saya amat kecewa dengan tahap profesional pemain-pemain saya,” kata Allardyce.

“Bagi saya, kami agak kekurangan daripada aspek kebolehan fizikal serta kepantasan.

“Spurs mampu menjaringkan gol ketika menentang sesiapa sahaja tetapi mereka tidak sepatutnya meraih gol dengan mudah seperti hari ini,” ujarnya.





Source link