'AS tak perlu keluar nasihat perjalanan ke kelab malam KL'

3


Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed mengkritik tindakan singkat Kedutaan Amerika Syarikat yang mengeluarkan nasihat perjalanan kepada rakyatnya agar tidak mengunjungi sebuah kelab malam di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Beliau berkata tindakan itu seolah-olah mahu memberikan imej negatif kepada Malaysia selain menggambarkan kesemua kelab malam di negara ini adalah sama.

“Tidak perlulah keluarkan travel advisory (nasihat perjalanan). Maklum saja dengan polis, pihak polis boleh mengambil tindakan sekiranya terdapat aduan. Apa-apa maklumat seperti ini adalah negatif kepada imej negara dan sebenarnya boleh mengambarkan semua kelab di KL dan Malaysia mengamalkan perkara yang sama.

“Bagaimanapun, saya akan mengarahkan polis untuk meneliti semula perkara ini dan memulakan penyiasatan sekiranya terdapat aduan daripada mereka yang menjadi mangsa. Kadang-kadang mangsa kejadian tidak membuat laporan tetapi menyatakannya dalam sosial media dan sebagainya.

“Mungkin ini antara sebab mengapa Kedutaan Amerika mengambil berat mengenai kes ini,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri majlis ulang tahun pertama penubuhan Everday Sports Futsal Centre di Johor Bharu, hari ini.

Kes ‘drink spiking’

Beliau mengulas nasihat perjalanan yang dikeluarkan Kedutaan Amerika Syarikat semalam yang menggesa rakyatnya agar tidak mengunjungi The Beach Club di Jalan P. Ramlee, Kuala Lumpur berikutan terdapatnya kes ‘coordinated drink spiking’ di premis itu yang menyasarkan para pengunjung asing.

Menurut Anggota Parlimen Pulai itu, kes ‘coordinated drink spiking’ itu bukan sahaja berlaku di The Beach Club malah di banyak tempat.

“Oleh sebab itulah polis sedang melakukan aktiviti mencegah penggunaan dadah di kelab-kelab malam. Kadang-kadang pemilik, kelab malam ini tidak mengetahui apa-apa berlaku di dalam kerana yang memberikan perkhidmatan ini (minuman dadah) ialah para pelayan dan bartender supaya mereka boleh mengenakan bayaran yang lebih tinggi terhadap minuman tersebut,” katanya.

Liciknya, perlakuan para pelayan dan bartender ini, kata Nur Jazlan, tidak mudah dikesan kerana dilakukan di belakang tadbir selain menggunakan dadah yang mudah larut dalam minuman.

“Dia ada pelbagai cara untuk menawarkan. Contoh, kalau hendak minum Coke biasa harganya RM10, tetapi kalau hendak minum Coke Plus yang ditambah dengan Eramin 5, ekstasi dan sebagainya, harganya mungkin ditawar pada RM30 atau RM40. Namun begitu, kita susah hendak membuat tuduhan (sama ada pelanggan tahu) atau membuktikan kesalahan kerana ia berlaku di belakang tadbir,” katanya.

 

-Bernama





Source link