Banjir: Mangsa di T'ganu meningkat mendadak, 6 sekolah ditutup

8


Hari keempat banjir di Terengganu menyaksikan peningkatan mendadak jumlah mangsa banjir iaitu 1,001 orang daripada 264 keluarga setakat 8 pagi ini berbanding 329 orang (109 keluarga) malam tadi.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu peningkatan jumlah itu disebabkan pembukaan lapan pusat pemindahan sementara (PPS) Kemaman, menjadikan jumlah keseluruhan 13 PPS beroperasi di Terengganu ketika ini.

PPS baharu di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Mentok merekodkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 415 orang daripada 87 keluarga.

Tujuh PPS yang lain ialah Surau Pulau Tempurung (38 mangsa – tujuh keluarga), Dewan Orang Ramai Batu 14 (65 mangsa – 16 keluarga), Masjid Kampung Batu 14 (10 mangsa – tiga keluarga), SK Chukai (tujuh sekeluarga), Masjid Sungai Mas (20 mangsa – tujuh keluarga), Masjid Kampung Batu 16 Tebak (19 mangsa – enam keluarga) dan Dewan Sivik Felda Seberang Tayor (98 mangsa – 28 keluarga).

Empat PPS sedia ada pula kekal tidak berubah seperti malam tadi iaitu di Dewan Orang Ramai Teladas terdapat 21 mangsa (tiga keluarga), Surau Haji Othman di Kampung Seberang Tayor Hulu (18 mangsa – lima keluarga), Surau Kampung Ban Ho di Air Putih (26 mangsa – lima keluarga) manakala Kampung Pasir Gajah (12 mangsa – empat keluarga).

Di Dungun, jumlah mangsa banjir tidak berubah iaitu PPS Dewan Orang Ramai Kampung Shukor kekal menempatkan 175 orang (61 keluarga) manakala di Dewan Orang Ramai Pasir Raja menempatkan 77 orang (31 keluarga).

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu Shafruddin Ali Hussin berkata enam sekolah ditutup hari ini di Kemaman melibatkan 2,333 murid, 197 guru dan 31 anggota kumpulan pelaksana (AKP).

“Empat sekolah iaitu SK Pasir Gajah (213 murid), SK Tayor (199 murid), SK RKT Tayor (147 murid) dan SK Padang Kubu (264 murid) ditutup kerana laluan ke sekolah tidak dapat dilalui.

“SK Pusat pula ditutup kerana dinaiki air melibatkan 940 murid manakala SK Bukit Mentok (570 murid) pula ditutup kerana menjadi pusat pemindahan sementara mangsa banjir,” katanya.

Di KOTA KINABALU, jumlah mangsa banjir di dua pusat pemindahan sementara (PPS) Daerah Kecil Membakut meningkat kepada 489 orang daripada 173 keluarga setakat 8 pagi ini berbanding 246 orang, malam tadi.

Menurut Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah, 362 mangsa daripada 127 keluarga ditempatkan di PPS SM St Patrick manakala selebihnya 127 orang daripada 45 keluarga di PPS Dewan Serbaguna Membakut.

Menurut agensi itu, 26 kampung di daerah kecil berkenaan masih terjejas banjir manakala lapan jalan raya tidak dapat dilalui kerana ditenggelami air.

Selain APM, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat turut terlibat dalam kerja-kerja pengurusan bencana banjir.

Manakala di MIRI, Sekolah Kebangsaan (SK) Uma Sambop di Belaga yang ditutup sejak sesi persekolahan dibuka semula Selasa lepas, namun masih tidak beroperasi untuk hari ketiga hari ini.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) sekolah yang mempunyai seramai 158 murid, 15 guru dan sembilan kakitangan pentadbiran itu tidak dapat dibuka kerana kerja-kerja pembersihan sedang dilakukan.

“Ini melibatkan susun atur peralatan, perabut kelas, bilik khas, asrama dan dewan makan yang dilakukan bersama guru serta ibu bapa,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan 8 pagi ini.

JPBNS berkata lima sekolah rendah iaitu SK Rumah Essau, SK Beliau Ahad,SK Kelabit,Sk Telahak dan Sk Kuala Kenyana yang sebelum ini terjejas banjir mula beroperasi seperti biasa hari ini.

.

– Bernama





Source link