Hadi tegur 'orang Islam punya akal'

8


Demi Islam PAS mahu rakyat Malaysia – terutama anggota parti itu – melaksanakan tanggungjawab masing-masing untuk mengundi pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 nanti.

Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata kegagalan anggota dan penyokong PAS memilih pemimpin boleh menyebabkan Islam gagal ditegakkan.

Beliau mengambil contoh kerajaan PAS hampir tewas di Kelantan pada 2004 akibat kurangnya kesedaran segelintir pengundi tentang keperluan memilih pemimpin.

“Tiba-tiba terdapat di kalangan orang Islam anggap tak penting (memilih pemimpin), lebih malang lagi, orang bukan Islam bekerja di Sarawak balik mengundi di Ipoh. Balik sendiri dengan duit dia.

“Kita yang mengundi di rumah, kita tak pergi mengundi sebab orang tak ambil dengan kereta, inilah orang Islam punya akal.

“Dengan sebab itu gagalnya kita tegakkan Islam jangan pandang ringan. Semalam saya sebut dalam perjumpaan di Kelantan, tahun 2004 dengan majoriti satu kerusi dengan dua undi sahaja kerana cikgu-cikgu Kelantan Sabah, Sarawak balik mengundi,” katanya semasa menyampaikan kuliah duhanya di hadapan kira-kira 400 orang di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), Taman Melewar, hari ini.

Langkah politik matang dan sejahtera PAS dianggap berpotensi memberi pukulan hebat kepada parti itu dalam PRU akan datang.

Bukan orang lain tak Islam

Hal itu kerana PAS menamatkan kerjasamanya dengan semua parti pembangkang utama. Pada masa sama melalui slogan politik matang dan sejahtera parti itu berkali-kali dilihat mesra dengan Umno.

Kerajaan Kelantan yang diketuai PAS sejak 1990 pernah berdepan detik cemas apabila mereka hanya memiliki kelebihan dua kerusi di dewan undangan negeri.

Pada PRU ke-11, PAS memenangi 24 kerusi dan Umno pula 21 kerusi DUN Kelatan.

Setahun kemudian, pilihan raya kecil diadakan di Pengkalan Pasir namun PAS kalah, lalu menyaksikan parti itu hanya memiliki majoriti satu kerusi.

Bagaimanapun perlu dinyatakan Kelantan ketika itu dipimpin Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Pada PRU ke-12 (2008) PAS kembali kukuh di Kelantan apabila hanya enam kerusi dimenangi BN. Namun perlu dinyatakan ketika itu PAS menjalin kerjasama dengan parti pembangkang lain di peringkat pusat.

Di sebalik pelbagai andaian mengenai nasib PAS kali ini Abdul Hadi dan pimpinan parti tetap yakin mereka bakal berjaya dalam PRU ke-14 nanti.

Kata Abdul Hadi setiap undi adalah penting dan pengundi dari Sabah dan Sarawak itulah yang memenangkan PAS sebelum ini.

Jika Kelantan jatuh, katanya, pelaksanaan Islam yang mereka buat juga akan “jatuh begitu sahaja”.

“Bukan (nak) kata orang lain tak Islam, tapi kita bersungguh-sungguh melaksanakan Islam daripada orang lain,” katanya.

Abdul Hadi turut mengingatkan semua pihak mengenai kewajipan memilih pemimpin dalam usaha menubuhkan sebuah kerajaan.

“Nabi cakap barang siapa yang tidak ambil berat di kalangan orang Islam, dia bukan di kalangan kita.

“Kena ambil berat, jangan pandangan ringan. Tidak lama lagi kita nak PRU, masih ramai di kalangan kita anggap pilihan raya ini tidak penting, serupa sahaja (walau) siapa perintah.

“Kita kena faham bahawa mengundi adalah cara mendirikan kerajaan. Mendirikan kerajaan adalah wajib, bukan sunat,” katanya.





Source link