Keluarga Ismail jejaki kembali kereta Proton Saga dimenanginya

7



SUNGAI PETANI: Keluarga pesara tentera Ismail Jaafar, 71 yang juga pencipta nama kereta Proton Saga, kereta nasional pertama negara, mahu menunaikan hasrat terakhir beliau iaitu menjejaki semula kereta yang diterimanya sebagai hadiah pada 1985.

Balunya, Sariah Abdul Rahman, 69, berkata Allahyarham suaminya amat menyayangi kereta tersebut namun terpaksa menjualnya bagi menampung perbelanjaan pengajian anak-anak serta membayar balik pinjaman perumahan.

“Bagi menggembirakan hati suami, anak bongsu kami Siti Sarismahaniza (meninggal dunia pada 2016) membelikan sebuah Proton Gen 2 dengan nombor plat yang sama kira-kira tujuh tahun lalu untuk ayahnya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Nuri Jaya dekat sini, hari ini.

BACA: Pencipta nama Proton Saga meninggal dunia

Ismail yang bersara dengan pangkat staf sarjan dan jawatan terakhir ketua kerani di sebuah sekolah tentera (Kor Perkhidmatan) di Taiping, Perak, meninggal dunia akibat sakit tua pada 3.10 petang Jumaat lalu.

Sementara itu, anak ketiganya, Siti Sarismahanim, 37, berkata mereka berjaya menghubungi pemilik kereta terbabit yang dipercayai berada di Pendang.

“Kami dimaklumkan ada pengubahsuaian yang telah dibuat, banyak berbeza dengan kereta asal termasuklah dari segi warna.

“Pemiliknya juga sukar untuk melepaskan kereta terbabit yang telah digunakannya sejak sekian lama, namun hasrat terakhir arwah ayah itu akan cuba kami tunaikan,” katanya.

Sementara itu, hari ini kediaman keluarga terbabit dikunjungi Panglima 6 Briged, Brig Jen Abdul Aziz Ismail bersama pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan persatuan veteran tentera.

Abdul Aziz yang mengucapkan takziah kepada keluarga terbabit, berkata pihaknya akan meneliti bentuk bantuan yang boleh dihulurkan bagi membantu meringankan beban ditanggung keluarga arwah.

“Antara bantuan yang dapat diusahakan ialah bantuan pengurusan jenazah sebanyak RM3,000. Selain daripada itu saya serah kepada Jabatan Hal Ehwal Veteran untuk mengambil tindakan susulan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Aziz berkata, ATM menghargai semua bekas tentera sama ada berpencen atau tidak, namun bantuan akan lebih mudah disalurkan jika mereka menyertai persatuan bekas tentera.

“Kita tidak mahu ada yang tercicir daripada mendapat manfaat yang diberikan kerajaan… Di Kedah sebagai contoh, terdapat kira-kira 30,000 pesara namun hanya 20,000 sahaja berdaftar dengan persatuan.

“Ini menyukarkan usaha kita menjejaki mereka,” katanya yang turut meluangkan masa menziarahi seorang lagi pesara tentera berpangkat koperal, Jasman Mohd Nali, 62, yang terlantar selepas kedua-dua kakinya dipotong akibat penyakit kencing manis, kira-kira tiga tahun lalu.

— BERNAMA





Source link