Langkah Pokok Sena: Tunggu, kata Mahfuz

6


WAWANCARA | Nampaknya tempoh iddah Datuk Mahfuz Omar masih belum berakhir selepas beliau mengumumkan secara rasmi ‘bercerai’ daripada parti yang dianggotanya selama berdekad-dekad, PAS.

Dengan pendiriannya selama ini memang bukan rahsia lagi beliau akan bergerak bersama Pakatan Harapan (HARAPAN) dalam jejak politiknya.

Namun ditanya apakah hala tuju baru dalam ‘Langkah Pokok Sena’ itu Mahfuz membayangkan ia masih agak jauh. Sebabnya, pada akhir bulan ini pun beliau tidak bercadang membuat pengumuman mengenainya.

“Belum nak umum lagi, baru nak senarai pendek pilihan yang ada,” katanya dalam temu bual bersama Malaysiakini di Petaling Jaya, Selangor semalam.

Beliau hadir pada masa yang dipersetujui. Sesuai dengan kedudukannya sebagai ahli politik, langkah dan penampilannya juga diperhatikan.

Ketika muncul di pejabat Malaysiakini, beliau mengenakan pakaian kemeja lengan pendek dengan kotak-kotak merah biru.

Menegaskan langkah yang diambilnya bekas naib presiden PAS itu berkata, tahap pertama yang diambilnya selepas membebaskan diri daripada PAS secara rasmi ialah bertenang.

Beliau tidak mahu dilihat tergopoh-gapah membuat keputusan memilih parti baru dalam hayat politiknya.

“Sekarang ada empat parti (dalam HARAPAN) dan mungkin hujung bulan ini akan disenaraipendek sebelum dibuat pilihan,” katanya.

Bukan jadi calon atau tidak

Bermula 1 Jan 2018 Mahfuz secara rasmi meninggalkan PAS yang dianggotainya sejak lebih 30 tahun lalu.

Keputusan itu dibuat ekoran sikap parti terbabit yang mengambil haluan sendiri dan mewujudkan kempen politik matang dan sejahtera.

Melalui dasar itu PAS dilihat meningkatkan permusuhannya dengan HARAPAN dan sebaliknya lebih mesra kepada Umno yang menjadi teras kepada BN.

Bagaimanapun PAS menegaskan mereka kekal sebagai parti pembangkang.

Mengulas mengenai faktor yang menjadi pertimbangan Mahfuz untuk memilih parti baru, beliau berkata ada banyak aspek yang menjadi perhatian.

Namun, yang paling utama, kata Mahfuz, ialah penerimaan masyarakat Pokok Sena kepada parti komponen HARAPAN.

“Bagi saya faktor yang menjadi pertimbangan ialah sejauh mana keberadaan parti tersebut dalam kawasan saya.

“Ini bukan soal saya akan jadi calon atau tidak tetapi isu menggerakkan sokongan rakyat kepada HARAPAN,” katanya.

Bukan lamar tapi bincang

Bagaimanapun, ujar Mahfuz, secara umum pengundi di Pokok Sena menerima baik PKR, Parti Amanah Negara (AMANAH), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan DAP yang membentuk HARAPAN itu.

Disoal apakah faktor kedudukannya sendiri dalam parti yang bakal disertai beliau turut menjadi pertimbangannya, Mahfuz berkata ia bukan matlamat yang difikirkan.

Sebaliknya, Mahfuz berkata apa yang menjadi keutamaannya kini adalah peralihan kuasa pemerintahan negara.

“Keutamaan saya ialah memastikan Pokok Sena menjadi pelengkap kepada proses peralihan kuasa di peringkat pusat, manakala kawasan dewan undangan negeri di bawahnya menyempurnakan peralihan kuasa di Kedah,” katanya.

Mengenai ‘lamaran’ daripada parti HARAPAN pula, Mahfuz mendedahkan ia bukan isu pujukan untuk menyertai sesebuah parti dalam gabungan itu.

Sebaliknya kata Mahfuz, apa yang berlaku adalah perbincangan mesra, malah pemimpin parti terbabit – termasuk AMANAH dan BERSATU – memang menjadi rakannya sejak lama dulu.

Untuk BERSATU pula, kata Mahfuz, kewujudan parti itu di Pokok Sena juga sedikit sebanyak dibantunya pada peringkat awal, sehinggalah kini mereka memiliki kekuatan sendiri.

Mengenai peluang HARAPAN di Pokok Sena, Mahfuz berkata, harapan ketika ini cukup cerah terutama dengan adanya BERSATU dan AMANAH.

Pada akhir wawancara itu, Mahfuz kemudian diusik dengan pertanyaan mengenai kemungkinan teka-teki hala tuju politiknya akan membawa beliau kepada DAP.

Bekas ketua pemuda PAS itu tidak menjawab apa-apa, sebaliknya ketawa, dan meminta orang ramai menunggu sehingga waktu yang sesuai untuk beliau membuat pengumuman nanti.

Siri 1: Mahfuz doakan Hadi sihat, diberkati dunia akhirat





Source link