METMalaysia nafi suhu terendah 17 darjah Celsius yang ditularkan

11



KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia hari ini menafikan mengeluarkan maklumat berhubung penurunan suhu sehingga 17 darjah Celsius yang kini tular menerusi media sosial.

Dalam satu kenyataan di sini, jabatan itu berkata suhu minimum yang direkodkan hari ini ialah 21 darjah Celsius di Mersing dan Kuala Pilah manakala kawasan-kawasan lain merekodkan suhu minimum sekitar 22 darjah Celsius yang lazim berlaku pada awal pagi.

“Keadaan ini berlaku berikutan cuaca mendung, hujan berterusan dan pergerakan angin sejuk monsun timur laut yang dijangka berterusan sehingga Ahad (esok),” demikian menurut kenyataan itu.

Jabatan tersebut turut menasihati orang ramai mendapatkan maklumat sahih berkaitan cuaca menerusi laman sesawangnya di www.met.gov.my atau aplikasi mudah alih (myCuaca), laman Facebook malaysiamet, Twitter @malaysianmet dan talian 1 300 22 1MET (1638).

Maklumat yang tular itu antara lain mendakwa berdasarkan ‘Info Cuaca Jabatan Meteorologi Malaysia’ seluruh negara mengalami penurunan suhu dengan Tawau mencatatkan suhu terendah pada 17.6 darjah Celsius serta menasihati orang ramai memakai baju tebal pada malam ini bagi mengelakkan suhu badan turun secara mendadak dan seterusnya membawa demam panas.

–BERNAMA





Source link