Pejabat pos dipecah masuk RM25000 lesap

8



IPOH: Sebanyak RM25,000 wang tunai lesap di sebuah pejabat pos dekat sini apabila dipecah masuk tiga perompak dalam kejadian awal pagi Khamis.

Dalam insiden itu, suspek dipercayai menggunakan teknik memotong atap dan pagar pejabat pos sebelum melarikan wang tersebut.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Mohd Ali Thamby berkata pihaknya menerima maklumat awal daripada penyelia pejabat pos berkenaan yang menyedari insiden pecah masuk sekitar 7.10 pagi.

“Siasatan awal mendapati atap bahagian belakang parkir motosikal telah dipotong manakala pagar serta zink yang digunakan sebagai dinding juga telah digunting.

“Semakan polis berjaya memperolehi dua kesan cap jari manakala kamera litar tertutup (CCTV) pula menunjukkan tiga suspek lelaki,” katanya kepada pemberita di sini.

Katanya, pihaknya juga menemui sebuah kotak penggera yang telah dicabut di dalam longkang berdekatan.

Mohd Ali berkata, pihaknya turut merampas peralatan pecah masuk iaitu gerudi dan dua batang pemutar skru.

Tambahnya, wang tunai yang lesap ialah wang yang disimpan di dalam peti besi yang telah ditebuk oleh suspek.

“Suspek yang lengkap bertopeng dan bertopi pada awalnya dipercayai masuk ke dalam pejabat pos sekitar jam 3 pagi kerana pengurus pejabat pos berkenaan memberitahu terdapat bunyi penggera.

“Bagaimanapun, setibanya anggota dari Balai Polis Tanjung Rambutan di lokasi kejadian, mereka tidak melaporkan sebarang kejadian,” katanya lagi.

Menurut Mohd Ali, berdasarkan laporan penyelia pejabat pos, insiden yang berlaku di pejabat dua tingkat itu adalah kali pertama di lokasi tersebut.

Kes akan disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.





Source link