Pencipta nama Proton Saga meninggal dunia

10


Pesara tentera, Ismail Jaafar, yang merupakan pemenang pertandingan mencipta nama kereta pertama keluaran Perusahaan Otomobil Nasional (Proton), meninggal dunia akibat sakit tua di rumahnya di Taman Nuri dekat Sungai Petani pukul 3.10 petang semalam.

Allahyarham Ismail, 71, mencipta nama Proton Saga, yang terpilih daripada keseluruhan 102,823 penyertaan yang diterima Proton selaku penganjur, ketika pelancaran edisi pertama kereta nasional itu yang disempurnakan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, pada 1 Sept 1985.

Beliau meninggalkan isteri, Sariah Abdul Rahman, 69, dan tiga anak, Mohd Sariffuddin, 46, Siti Sarismahan, 42, dan Siti Sarismahanim, 37.

Ketika ditemui pemberita, Mohd Sariffuddin berkata kesihatan bapanya semakin merosot sejak akhir tahun lalu dan sering keluar masuk ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

“Allahyarham juga ada penyakit jantung, buah pinggang dan kencing manis, Khamis lalu dia baru keluar wad, petang semalam, selepas Jumaat, dia menghembuskan nafas terakhir di samping semua anggota keluarga.

“Alhamdulillah, jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudahtus Solihin Amanjaya, pukul 10.55 malam tadi,” katanya.

Ismail yang bersara sejak lebih 20 tahun lalu, sebelum itu merupakan Staf Sarjan dengan jawatan terakhir disandang, Ketua Kerani di sebuah sekolah tentera (Kor Perkhidmatan) di Taiping, Perak.

Ismail yang berasal dari Pulau Pinang, berpeluang menunaikan haji pada Julai tahun lalu bersama isterinya.

– Bernama





Source link