Polis sahkan beberapa individu terlibat Daish di Perak akan ditahan

13



IPOH: Polis Perak telah mengenal pasti beberapa individu yang terlibat dengan kumpulan militan Daish di negeri tersebut dan mereka akan ditahan dalam masa terdekat.

Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan mengesahkan, antara individu-individu terbabit termasuk kakitangan kerajaan serta isteri kepada ahli kumpulan tersebut yang turut terlibat.

“Kita telah mengenal pasti dan mengesan individu-individu yang terlibat dengan kumpulan pengganas di negeri ini.

“Kita akan menahan mereka dalam masa terdekat dan memerangi kumpulan pengganas ini merupakan salah satu keutamaan kita pada tahun ini,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Ketua Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard serta Ketua Polis Daerah Taiping di Mes Pegawai Kanan Polis di sini pada Jumaat.

Dalam majlis tersebut, bekas Timbalan Ketua Siasatan Jenayah (JSJ) (Risikan/Operasi) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd Rahman, 58, dilantik sebagai Ketua JSJ Perak berkuatkuasa pada Jumaat (12 Januari 2018).

Beliau menggantikan Datuk Gan Tian Kee, 59, yang bertukar jawatan sebagai Ketua Penolong Pengarah (Siasatan dan Pemalsuan/Jenayah Komplot) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman.

Sementara itu, dalam majlis sama, turut berlangsung serah dan terima tugas Ketua Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) negeri, Superintendan Mohd Radzuan Bachik yang digantikan Superintendan Mohd Azlan Sanusi.

Dalam pada itu, tugas Ketua Polis Daerah Taiping yang sebelum dipangku Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Razlam Ab Hamid turut diserahkan kepada Asisten Komisioner Mohamad Taib.

Majlis sama turut menyaksikan isteri Yahya iaitu Faridah Othman dilantik sebagai Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) IPK Perak menggantikan Datin Anges Wee Suan Neo, manakala isteri Mohamad iaitu Hashimah Mohd Kamal dilantik sebagai Pengerusi PERKEP Taiping.





Source link