Skandal tanah RM155 juta Pemimpin politik pembangkang bebas reman

5



KOTA KINABALU: Mahkamah Majistret Kota Kinabalu membebaskan seorang pemimpin kanan parti politik pembangkang dengan jaminan RM55,000 tanpa deposit selepas tempoh tahanan remannya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berakhir hari ini.

Tahanan reman yang dikenakan kepada ahli politik itu bermula 6 Januari lalu adalah susulan siasatan berhubung kes urusan pembelian tanah ladang sawit bernilai kira-kira RM155 juta di Tongod.

Penetapan pembebasan ahli politik berpangkat Datuk itu dilakukan oleh Majistret Afiq Agoes.

Terdahulu, beliau hadir ke mahkamah pada jam 9.40 pagi sebelum keluar dari kamar majistret kira-kira sejam kemudian.

Beliau ditemani peguamnya, Martin Tommy, dan sekumpulan penyokong parti.

Pegawai Pendakwa SPRM Sabah, Mohd Faliq Basiruddin, berkata kepada pemberita di perkarangan mahkamah, pembayaran wang jaminan akan dilakukan di pejabat SPRM Sabah dengan seorang penjamin tempatan.

Jelasnya, seorang lagi individu yang dipercayai terlibat dengan siasatan kes itu masih belum dapat dikesan sehingga ke hari ini.

Pihaknya masih menunggu arahan daripada pihak atasan SPRM untuk tindakan selanjutnya, tambahnya.





Source link