'Tun, kami tunggu mu datang!'

9


Ia baru cakap-cakap ringan dan belum dapat dipastikan reaksi pihak yang terbabit. Malah ada kemungkinan kenyataan yang dibuat sekadar silat kata-kata atau madah berhelah.

Namun PAS seperti selalu tetap bersiap siaga menghadapi apa saja kemungkinan bagi memastikan parti itu mencapai kejayaan dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Semalam Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali menawarkan kerusi parlimen Gombak yang disandangnya untuk ditandingi calon perdana menteri Pakatan Harapan (HARAPAN), Tun Dr Mahathir Mohamad.

Hari ini Pemuda PAS Gombak bingkas dan cergas menyatakan mereka bersedia mendepani Dr Mahathir jika benar bekas perdana menteri itu bertanding di Gombak.

“Tun, kami tunggu mu datang!” kata ketuanya Dr Md Noor Hussin.

Kata Md Noor Pemuda PAS Gombak memang sudah lama bersedia menghadapi saingan tiga penjuru – atau lebih – untuk kawasan parlimen itu pada PRU ke-14 ini.

Ekoran tawaran Azmin yang juga menteri besar Selangor itu, Md Noor berkata, pemuda PAS menyambut idea tersebut dengan semangat anak jantan.

“Dengan rekod prestasi yang ada pada Dr Mahathir, Pemuda PAS Gombak tidak memandang enteng cabaran tersebut memandangkan lawan kali ini ialah bekas diktator yang mempunyai pengalaman puluhan tahun dalam manipulasi pilihan raya, melacurkan demokrasi dan menzalimi rakyat,” katanya.

Kumpul seluruh kekuatan

Dr Mahathir dinamakan HARAPAN sebagai calon perdana menteri jika gabungan empat parti itu berjaya mengatasi BN dalam PRU ke-14 yang boleh diadakan pada bila-bila masa sekarang.

Jika HARAPAN berjaya, ia adalah kali pertama BN dikalahkan di peringkat persekutuan.

Untuk jawatan timbalan perdana menteri HARAPAN menamakan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk mengisinya.

Bagaimanapun cadangan itu mendapat bantahan sesetengah pihak, termasuk di Selangor.

Pengkritik berpendapat ada tokoh lain – yang lebih muda – boleh dijadikan pertaruhan HARAPAN untuk menarik sokongan pengundi. Antara nama yang disebut ialah Azmin sendiri.

Namun pada 12 Jan lalu Azmin berkata Dr Mahathir adalah pilihan terbaik ditawarkan HARAPAN untuk jawatan perdana menteri jika mereka dapat meyakinkan rakyat untuk menerimanya.

Memberikan reaksinya Dr Mahathir berkata Azmin seorang pemimpin yang berkebolehan menjadi perdana menteri namun untuk seseorang dicalonkan, individu terbabit perlu menjadi pilihan HARAPAN.

“Berkebolehan saja tidak cukup tapi anda juga perlu dipilih.

“Saya tidak pasti jika saya berkebolehan tapi mereka pilih saya,” katanya.

Ekoran perkembangan itu Azmin menawarkan kerusi parlimen Gombak yang dimenanginya pada PRU ke-12 untuk Dr Mahathir atas nama “membingkai muafakat demi rakyat”.

Azmin menguasai Gombak sejak PRU ke-12 apabila mengalahkan calon BN dengan majoriti 6,867 undi. Pada 2013 Azmin mengekalkan kerusi itu dengan majoriti 4,734 undi.

Parlimen Gombak mempunyai tiga dewan undangan negeri (DUN) iaitu Batu Caves, Gombak Setia dan Hulu Kelang. Ketiga-tiga kawasan DUN itu turut dimenangi PKR dan Parti Amanah Negara (AMANAH).

Persepsi umum ialah, kemenangan Azmin di Gombak banyak dibantu oleh penyokong dan anggota PAS. Namun kedudukan parti itu yang tidak lagi bekerjasama dengan PKR – serta DAP dan AMANAH – memungkinkan sokongan berkenaan beralih arah.

Md Noor berkata Pemuda PAS Gombak bersedia dengan seluruh kekuatannya untuk turun ke medan perang politik pada PRU akan datang.

“Langkah itu dibuat untuk menamatkan riwayat politik diktator paling lama dalam sejarah Malaysia,” katanya.





Source link