Aksi cemerlang Aguero benamkan Leicester City

8



EMPAT gol Sergio Aguero di laman sendiri membantu Manchester City untuk terus mengekalkan penguasaan di takhta Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas menewaskan Leicester City 5-1, sebentar tadi.

Raheem Sterling terlebih dahulu menceriakan suasana di Etihad apabila membuka tirai jaringan seawal minit ketiga, selepas pemain sayap England itu melepasi perangkap ofsaid untuk menyempurnakan hantaran lintang Kevin De Bruyne.

Bagaimanapun, pendahuan tuan rumah hanya bertahan selama 21 minit, setelah kesilapan Oleksandr Zinchenko dan Ilkay Gundogan yang gagal mengeluarkan bola daripada kawasan bahaya pantas dimanfaatkan Jamie Vardy menerusi rembatan kaki kanan menewaskan penjaga gol, Ederson Moraes, untuk mengikat kedudukan 1-1.

Sterling hampir kembali meletakkan tuan rumah di depan ketika babak pertama berbaki empat minit selepas melepasi halangan penjaga gol, Kasper Schmeichel, namun percubaannya sempat dinafikan Aleksandr Dragovic di depan gawang yang terbuka.

Bersambung separuh masa kedua, skuad kendalian Pep Guardiola hanya memerlukan tiga minit untuk kembali di depan.

Aguero bijak mencari ruang untuk menyudahkan hantaran leret De Bruyne dari sebelah kiri, membolehkannya menjadikan kedudukan 2-1 dan meraih gol ke-18 liga, musim ini.

Belum sempat The Foxes mencari ruang untuk menyamakan kedudukan buat kali kedua, Aguero terus menambah gol ketiga Citizens, lima minit kemudian, menerusi rembatan jarak dekat, sekali lagi hasil umpanan De Bruyne.

Aguero harus “berterima kasih” kepada Schmeichel selepas sepakan lemah penjaga gol Denmark itu membolehkannya melengkapkan hatrik pada minit ke-77 menerusi lambungan untuk menjadikan kedudukan 4-1.

Bekas penggempur Atletico Madrid itu menamatkan cabaran pelawat dengan jaringan peribadi keempat pada minit terakhir perlawanan,  sekaligus mengesahkan kemenangan ke-23 Citizens pada musim ini dengan keputusan 5-1.

City kini selesa di tangga teratas liga dengan 72 mata, diikuti Manchester United (56 mata) dan Tottenham Hotspur (52 mata).





Source link