Amerika Syarikat dikhuatiri rencatkan kenaikan harga minyak

11



TINDAKAN Amerika Syarikat meningkatkan pengeluaran minyak mentahnya dikhuatiri menarik turun semula harga komoditi itu di peringkat global.

Pada Isnin, OPEC dalam laporannya menjangka pengeluaran minyak dunia akan meningkat 1.4 juta tong lebih dari jangkaan setiap hari pada 2018.

Dari jumlah itu, ia berkata 1.3 juta tong dari pengeluaran tersebut akan berasal dari Amerika Syarikat.

Harga minyak mentah Brent, yang menjadi penanda aras bagi harga minyak mentah dunia, telah meningkat lebih 50 peratus sejak separuh kedua 2017.

Ini susulan pelbagai langkah yang diambil sejak 2016, termasuk langkah OPEC mengurangkan pengeluaran minyak mentah ahlinya bagi meringankan lebihan bekalan di dalam pasaran.

Peningkatan pengeluaran oleh Amerika Syarikat bakal menambah semula lebihan bekalan ini, sekaligus menarik turun semula harga komoditi tersebut.

Menurut Pentadbiran Maklumat Tenaga AS, pengeluaran minyak mentah negara itu melebihi 10 juta tong sehari pada November 2017, tertinggi sejak 1970.

Agensi Tenaga Antarabangsa juga menjangka, pengeluaran minyak mentah AS bakal melebihi pengeluaran Arab Saudi serta menyaingi pengeluaran Rusia – dua pengeluar minyak terbesar dunia.

OPEC bagaimanapun menjangka, situasi ini mungkin diringankan oleh permintaan global yang meningkat.

Ia menjangka permintaan minyak akan mencecah 98.6 juta tong sehari tahun ini.

Ini merupakan peningkatan 60,000 tong sehari dari unjurannya bulan lalu, dan 1.59 juta tong sehari lebih tinggi dari permintaan global pada 2017.

Katanya, ini susulan persekitaran ekonomi global yang lebih positif serta kestabilan harga pada tahun lalu.

“Hubungan rapat antara pertumbuhan ekonomi dan permintaan minyak ini dijangka berterusan, sekurang-kurangnya dalam jangka masa pendek,” katanya.

Setakat jam 10.51 pagi Selasa, harga minyak mentah Brent meningkat 0.69 peratus kepada USD63.02 setong, manakala harga minyak mentah WTI meningkat 0.59 peratus kepada AS$59.64 setong.





Source link