Anggota paling muda rai hari lahir di balai bomba

9



ALOR SETAR: Tiada apa yang lebih menggembirakan seorang kanak-kanak salain dilimpahi kasih sayang dan diraikan penuh gemilang pada sambutan hari lahirnya.

Bagi Muhammad Danish Izzuddin Syaiful Khairy, sambutan ulang tahun kelahiran kelimanya menjadi cukup bermakna apabila dia dipersiapkan dengan semua kelengkapan selayaknya sebagai seorang anggota bomba, walaupun hanya untuk sehari.

Bertempat di Balai Bomba Alor Setar, Muhammad Danish Izzuddin menerima hadiah hari jadi paling bermakna apabila ‘anggota bomba’ paling muda itu diberi pelunag untuk merasai pengalaman menjadi sebahagian daripada anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) di balai tersebut.

Muhammad Danish Izzuddin dipakaikan uniform celoreng bomba, dibawa menaiki kereta bomba dan melihat semua aset milik bomba sempena hari lahirnya.

Menurut ibunya, Siti Muzalina Murad, minat anak keempat daripada lima beradik itu terhadap pasukan keselamatan itu bermula sejak kecil.

“Setiap pagi ketika lalu di hadapan JPBM Kedah untuk ke pusat asuhan, dia akan suruh saya pandu perlahan untuk dia kira berapa jumlah jentera bomba yang terdapat di balai berkenaan.

“Dia juga ada menyatakan suka tengok bomba seperti dalam rancangan kartun Upin Ipin bersama bomba sebelum ini.

“Melihat minatnya terhadap bomba, saya kemudian menghubungi pihak bomba untuk memohon kebenaran mengadakan sambutan ulang tahun kelahirannya di balai bomba,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Alor Setar, Ahmad Naufal Abdullah berkata pihaknya membenarkan majlis sambutan hari lahir Muhammad Danish Izzuddin diadakan di situ kerana menganggapnya sebagai tindakan serampang dua mata.

”Program ini bukan saja untuk meraikan (Muhammad Danish Izzuddin) tetapi dalam masa yang sama kita menyediakan kempen kesedaran kebakaran selain dapat mendekatkan bomba dengan masyarakat.”

Majlis sambutan ulang tahun itu disambut dengan 22 anggota bomba serta hampir 50 jemputan termasuk ahli keluarga dan sahabat handai.





Source link