Dijangkiti penyakit wanita keluarkan 14 cacing dari mata kirinya

7



OREGON: Kebiasaannya, hanya haiwan seperti lembu, anjing dan kucing yang dijangkiti penyakit mata hingga menyebabkan pembiakan cacing didalam bahagian mata.

Namun demikian, malang sekali buat seorang wanita dari Oregon, Amerika Syarikat (AS), apabila matanya dijangkiti kuman hingga menyebabkan 14 cacing hidup di matanya.

Abby Beckley, 26 tahun, diserang parasit Thelazia gulosa, iaitu sejenis jangkitan kuman yang sering menyerang haiwan, menurut Pusat Kawalan Penyakit (CDC) AS.

Pada awalnya, dia merasai kesakitan dan kegatalan pada bahagian mata sebelum dia sendiri menarik keluar seekor cacing sepanjang 1.27cm daripada biji matanya.

Bimbang dengan perkara itu, dia berjumpa dengan pakar mata dan sebanyak tiga ekor cacing lagi berjaya dikeluarkan.

Selepas itu, dalam masa 20 hari, Beckley sendiri telah mengeluarkan saki-baki cacing daripada matanya.

Perkara itu berlaku selepas dia menunggang kuda dan memancing ikan di kawasan penternakan lembu. Menurut kajian, penyakit ini hanya berada di kawasan penternakan lembu di AS dan Kanada.

Beckley cukup bertuah kerana walaupun menghidap jangkitan kuman yang pelik, dia tidak menghadapi sebarang penyakit lain.

Kes ini mendapat perhatian CDC yang mengatakan, parasit itu adalah daripada jenis parasit Thelazia.

Menurut penyelidik CDC, Richard Bradbury: “Cacing itu tidak boleh dikeluarkan semua pada waktu yang sama. Cacing-cacing itu hanya boleh dikeluarkan apabila ia sudah kelihatan di mata.”

Jangkitan cacing mata pernah dilaporkan berlaku di beberapa buah negara terutama di kawasan pedalaman yang kurang menitikberatkan aspek kesihatan.





Source link