Exco: BN jangan politikkan pembatalan 9 projek Rumah Selangorku

8


Exco Selangor Iskandar Abdul Samad berkata BN tidak sepatutnya mempolitikkan isu pembatalan kelulusan sembilan projek Rumah Selangorku di negeri itu.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar
itu berkata di bawah kerajaan negeri hari ini, Rumah Selangorku wajib dibina terlebih dahulu atau serentak dengan rumah harga bebas.

Justeru itu katanya, pemaju berkenaan perlu mendapatkan kelulusan semula dan memulakan pembinaan Rumah Selangorku sebelum boleh membina projek lain.

“Ini berbeza dari zaman BN di mana pemaju boleh membina rumah harga bebas tanpa perlu membina rumah mampu milik kos rendah terlebih dahulu.

“Akibatnya terdapat rumah-rumah tersebut yang tidak dibina hingga ke hari ini.

“Contohnya menurut rekod Lembaga Perumahan dan Harta Tanah Selangor (LPHS) untuk dua¬†kawasan Pihak Berkuasa Tempatan sahaja sebanyak 4,638 rumah kos rendah yang diluluskan di zaman BN masih belum dibina,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

Iskandar mengulas kritikan pemimpin BN terhadap langkah kerajaan negeri membatalkan kelulusan sembilan projek Rumah Selangorku selepas pemaju gagal mendapatkan Kebenaran Merancang dalam tempoh dua tahun.

Pembinaan rumah kos rendah merupakan prasyarat bagi pemaju untuk membina projek-projek lain, termasuk projek perumahan mewah.

Iskandar menegaskan bilangan projek yang dibatalkan juga adalah kecil berbanding projek yang telah mendapat Kebenaran Merancang atau sedang dalam pembinaan.

“Bilangan projek yang telah mendapat Kebenaran Merancang adalah 179 projek (100,533 unit) dan bilangan yang sedang dalam pembinaan adalah 29 projek (20,627 unit).

“Manakala sebanyak 17 projek (3,620 unit) telah siap dan diduduki sejak 2014,” katanya.





Source link