KWSP dijangka umum dividen lebih baik untuk 2018

9



KUALA LUMPUR: Pasaran masih boleh mengharapkan dividen yang baik oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk 2018, berdasarkan suasana peningkatan dalam kadar faedah pada masa ini.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata peningkatan kadar faedah berlaku ketika pertumbuhan ekonomi global dijangka melonjak dan ini memberikan keyakinan kepada pasaran bahawa perolehan syarikat akan terus baik tahun ini.

“Ia sangat bergantung kepada keadaan pasaran semasa. Buat masa ini, pasaran saham global mengalami pembetulan yang besar dan perolehan bon di AS juga meningkat disebabkan kenaikan kadar faedah Rizab Persekutuan AS, yang dijangka berlaku lebih dari tiga kali tahun ini,” katanya kepada Bernama.

BACA: Dividen KWSP: Kenapa dividen Syariah lebih rendah?

Baru-baru ini, saham Asia mengalami kejatuhan, sementara dana ekuiti mencatatkan aliran keluar selepas pasaran saham AS jatuh sehingga tahap pembetulan, kerana sentimen dibebani kebimbangan terhadap inflasi yang meningkat dan kadar faedah lebih tinggi.

Bersandarkan data agregat sementara di tujuh pasaran saham Asia dipantau MIDF Amanah Investment Bank Bhd, pelabur asing menarik keluar US$7 bilion (US$1=RM3.93) dana minggu lalu, hampir empat kali jumlah dilupuskan minggu sebelumnya, menandakan minggu kedua aliran keluar bersih.

BACA: Ini sebab kenapa dividen KWSP tertinggi sejak 1997

“Walaupun keuntungan di FBM KLCI pada minggu sebelumnya berkurangan, pasaran FBM KLCI mengalami kerugian ketiga paling kecil iaitu 2.71 peratus, di belakang Jakarta dan Thailand, menunjukkan semua indeks mengalami kerugian mingguan yang besar,” katanya dalam laporan pergerakan dananya, hari ini.

Pada 10 Feb lalu, KWSP mengumumkan pembayaran dividend paling tinggi sejak 1997 – 6.9 peratus untuk simpanan konvensional dan 6.4 peratus untuk simpanan Shariah, dengan pembayaran masing-masing berjumlah RM44.5 bilion dan RM3.98 bilion.

Semalam, Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif Maybank, Datuk Abdul Farid Alias, berkata EPF mampu mencapai aras keseimbangan bagi pulangan dalam akaun Shariah serta konvensional pada masanya dan dengan adanya lebih banyak instrumen pelaburan patuh Shariah.

Mohd Afzanizam berkata, ia mungkin menjadi hala tuju jangka panjang, terutama dalam hal berkaitan strategi pelaburan yang sesuai dengan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus, pada pandangannya, bersebati baik dengan prinsip shariah.

Sementara itu, KWSP mensasarkan untuk mengembangkan portfolio aset globalnya kepada 32 peratus pada 2018 daripada 28 peratus tahun lalu dengan meninjau pasaran Amerika Latin untuk meningkatkan kehadirannya dan memberikan pulangan lebih baik kepada pencarum.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Shahril Ridza Ridzuan, berkata langkah itu adalah bagi mengatasi kesan pulangan yang rendah daripada pasaran ekuiti tempatan.

Mohd Afzanizam berkata, kepelbagaian portfolio sentiasa menjadi strategi KWSP kerana ia membolehkan dana KWSP memperoleh pulangan lebih tinggi dan pada masa sama memberikan tahap risiko yang munasabah terhadap portfolionya.

“Cabaran utama bagi mana-mana dana adalah kelas aset cenderung bergerak pada arah sama, menjadikan kepelbagaian sebagai tugas semakin mencabar.

“Bagaimanapun, dengan ketekunan, proses pelaburan yang mantap dan kompeten serta pengurus yang profesional, KWSP mampu memperoleh pulangan pelaburan yang baik,” katanya.

Setakat tahun lalu, KWSP hadir di 30 pasaran, terutama di negara maju, Asia Utara dan ASEAN.

— BERNAMA





Source link