Menteri arah siasatan kes pelajar terkena bilah pemotong rumput

5


Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid mengarahkan siasatan penuh berhubung insiden seorang pelajar perempuan tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuanku Abd Rahman di Gemas, Negeri Sembilan, yang maut terkena bilah pisau traktor mesin rumput di padang sekolah itu pagi tadi.

Katanya, kejadian seumpama itu tidak sepatutnya berlaku kerana sewaktu kejadian, sekolah berkenaan sedang mengadakan raptai hari sukan.

“Saya dah minta satu siasatan penuh bagaimana kejadian ini boleh berlaku sewaktu raptai hari sukan sekolah, biarlah siasatan penuh antara sekolah dan pihak berkuasa,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Alor Setar hari ini.

Mahdzir berkata, pihak sekolah mahupun kontraktor pembersihan sepatutnya peka dan melihat dari aspek keselamatan sebelum melakukan kerja-kerja pembersihan dengan menggunakan traktor mesin rumput di padang sekolah itu.

“Saya kira perlu ada pertimbangan wajar antara pengetua dan guru besarlah, bila jentera berkaitan pembersihan digunakan dan ada pelajar di padang sekolah tak perlulah mengendalikan mesin itu, ini peristiwa yang sangat menyedihkan dan saya mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira 10.30 pagi tadi, Nur Afini Roslan, 14, maut manakala dua lagi pelajar lelaki, Abdullah Hazlan, 14, pelajar tingkatan dua dan Mohd Farhan Reza Badrol Hesam, 13, pelajar tingkatan satu, turut cedera.

Nur Afini maut selepas kepalanya terkena bilah pisau traktor mesin rumput yang sedang memesin rumput di padang sekolah itu.

Abdullah pula cedera di bahagian telinga kanan, sementara Mohd Farhan Reza cedera di bahagian belakang kepala dan mereka dihantar ke Klinik Kesihatan Gemas untuk rawatan.

Ketika kejadian, ketiga-tiga mangsa berada di padang sekolah itu ketika pemandu traktor berkenaan sedang menjalankan kerja memesin rumput.

Sementara itu, sebuah Jawatankuasa Khas Dalaman ditubuhkan bagi menyiasat secara terperinci dan menyeluruh kemalangan tersebut.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam kenyataan malam tadi berkata jawatankuasa berkenaan akan dipengerusikan Pengarah Pendidikan Negeri Pkharuddin Ghazali.

“Dalam masa yang sama Jabatan Pendidikan Negeri juga diminta untuk membantu keluarga murid terlibat.

” KPM juga memohon kerjasama semua pihak supaya menghentikan penyebaran maklumat berkaitan kejadian ini bagi menghormati perasaan keluarga murid terlibat termasuk perasaan guru-guru dan murid sekolah berkenaan,” kata kenyataan itu.

KPM berkata berdasarkan laporan awal yang diterima, semasa raptai perbarisan sukan di padang sekolah, sebuah traktor pemotong rumput sedang menjalankan kerja pemotongan rumput berhampiran, pada jarak kira-kira 30 meter.

Ketika traktor tersebut berhenti, satu bunyi yang kuat didengari oleh semua murid yang terlibat dalam raptai itu dan pada masa yang sama, guru-guru raptai mendapati tiga murid tercedera di bahagian kepala.

“KPM melahirkan rasa sedih, simpati dan kesal terhadap kejadian ini dan mengucapkan takziah kepada keluarga murid terlibat,” katanya.

– Bernama





Source link