Nga undur dari media sosial selepas akaun 'digodam'

6


Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming hari ini mengumumkan pengunduran dirinya dari media sosial sehingga pilihan raya umum akan datang.

Ini adalah selepas akaun Gmail, Facebook dan Twitter miliknya semua digodam.

“Saya mula-mula mengesyaki akaun media sosial saya digodam selepas Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyerbu rumah saya pada 18 Januari lalu.

“Jumaat lalu, saya menerima mesej teks yang meminta saya menukar kata laluan akaun Gmail saya ([email protected]), jadi saya patuhi,” katanya kepada Malaysiakini.

Walau bagaimanapun, beliau menyedari bahawa e-melnya telah digodam sekali lagi, iaitu pada kira-kira jam 3 pagi Sabtu lalu oleh penggodam yang tidak dikenali dari Slovenia, sehingga menyebabkan 30,000 e-mel di petinya hilang.

Begitu juga, beliau mendapati bahawa dirinya tidak dapat memasuki akaunnya di Facebook dan Twitternya lagi.

Nga membuat pengumuman pengunduran untuk mengelakkan dirinya dituduh mengeluarkan kenyataan kontroversi.

“Ini bukan kali pertama, Gmail saya pernah digodam sebelum ini tetapi tidak berjaya. Pada tahun 2015, seseorang menggunakan nombor saya untuk memaklumkan kepada pengundi bahawa saya akan mengedar baucar petrol melalui mesej teks.”

Beliau sebelum ini juga mengundang masalah berhubung hantarannya yang didakwa meremehkan duit raya Aidilfitri sebagai rasuah. Nga menafikan membuat hantaran itu.

Bulan lalu, SKMM menyerbu rumah Nga di Ipoh, rumah ibu bapanya di Ayer Tawar dan pusat perkhidmatannya di Taiping, berkaitan hantaran beliau di media sosial yang antaranya didakwa memperlekehkan kerajaan BN.

 





Source link