SPRM beri insentif RM400,000 kepada pelapor rasuah

5


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberikan insentif lebih RM400,000 kepada 267 penjawat awam setakat akhir tahun lepas sebagai galakan melaporkan pemberian atau penerimaan rasuah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata pengiktirafan berkenaan selaras dengan surat pekeliling yang dikeluarkan Pejabat Ketua Setiausaha Negara pada tahun 2011 bertajuk ‘Garis Panduan Pengiktirafan Kepada Penjawat Awam Yang Melaporkan Pemberian Atau Penerimaan Rasuah’.

“Mereka menerima saguhati daripada SPRM kerana pihak kami tidak boleh bergerak bersendirian, perjuangan memerangi rasuah memerlukan kerjasama semua pihak.

“Saya berharap mereka boleh menjadi ejen dan sahabat kepada SPRM serta terus membantu dalam membanteras rasuah,” katanya ketika menyampaikan ucapan sempena kempen Gerakan Memerangi Pemberi Rasuah (Gempur) di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata kempen Gempur berkenaan selaras dengan peruntukkan Seksyen 25 Akta SPRM 2009 yang menjelaskan seksyen tersebut mewajibkan mana-mana individu melaporkan tawaran atau pemberian rasuah kepada badan bebas itu.

“Kegagalan melaporkan adalah satu kesalahan jenayah yang boleh dihukum denda tidak lebih RM 100,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Kempen Gempur adalah penjenamaan semula kepada kempen ‘Perangi Pemberi Rasuah’ dengan slogan kempen baharu ‘Anda Hulur, Kami Lapor’, bertujuan mendidik penjawat awam menolak sebarang bentuk rasuah ketika bertugas. -Bernama





Source link