KKM siasat susu bayi Dutch Lady didakwa tiruan

7



PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan sedang menyiasat aduan pengguna bahawa susu formula untuk bayi Dutch Lady didakwa tiruan.

Menterinya, Datuk Seri Dr S.Subramaniam berkata, siasatan termasuk melakukan pemeriksaan ke atas  susu berkenaan yang dijual di pasaran.

“Apabila ia dibangkitkan,memang kita buat siasatan. Kita sedang siasat apa yang dalam pasaran dan apa yang ditetapkan dalam kandungan.

“Kalau tiada perubahan, jadi it is okay. Namun kalau kita dapati perkara itu (kandungan susu) ada perubahan dan sebenarnya ia adalah tiruan, kita akan siasat untuk tahu puncanya,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan inisiatif KOSPEN@Activ di sini, hari ini.

Justeru katanya, beliau berharap semua pihak bersabar dan memberi ruang kepada kementerian untuk melakukan siasatan berhubung kesahihan dakwaan dibuat pengguna.

“Kadang-kadang ia perlu diselesaikan pihak kementerian dan kadang-kadang ia memerlukan siasatan pihak polis. Biarlah kita siasat sebelum kita katakan ia tiruan atau tidak,” katanya lagi.

Ditanya sama ada sampel susu formula terlibat telah diambil untuk dianalisa, Subramaniam berkata, pihaknya akan mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu dalam masa terdekat.

BACA: Alahan susu, Dutch Lady kaji produk ‘Curious’

Sejak beberapa hari lalu, beberapa pengguna di media sosial memdedahkan bahawa bayi mereka mengalami simptom muntah-muntah, cirit-birit dan ruam selepas minum susu formula bayi Dutch Lady Curious.

Pihak Dutch Lady Malaysia dalam pada itu berkata penemuan awal daripada proses kawalan kualiti dalaman menunjukkan bahawa produk berkenaan tidak mempunyai sebarang kekurangan dari segi kualiti dan selamat untuk diminum.





Source link