Rahman Dahlan desak Azmin jawab isu tanah Ijok

7


Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan mendesak Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memberi penjelasan berhubung isu tanah Ijok bernilai RM1.18 bilion yang diserahkan kembali pemilikannya kepada dua syarikat sebelum Mahkamah Persekutuan mendengar kes tersebut.

Kedua-dua syarikat itu ialah Mujur Zaman Sdn Bhd dan LBCDN Develoment Sdn Bhd yang mana Penyelaras Deklarasi Rakyat Datuk Khairuddin Abu Hassan mempunyai jawatan tinggi dalam syarikat itu.

Pengarah Komunikasi Strategik BN berkata keputusan Azmin itu mengundang persoalan memandangkan keputusan mahkamah tinggi dan mahkamah rayuan memihak kepada kerajaan negeri Selangor ketika pemerintahan Tan Sri Khalid Ibrahim.

“Apa justifikasi Datuk Seri Azmin Ali untuk menyerahkan tanah bernilai RM1.18 bilion kepada dua syarikat itu walaupun keputusan mahkamah rayuan memihak kepada keputusan Tan Sri Khalid Ibrahim dan kerajaan negeri Selangor untuk mengambil alih semula tanah tersebut.

“Kenapa Datuk Seri Azmin Ali tidak menunggu kes ini dibicarakan di mahkamah persekutuan memandangkan kerajaan negeri Selangor telah menang di mahkamah tinggi dan mahkamah rayuan sebelum ini.

“Kenapa Datuk Seri Azmin tergesa-gesa membuat keputusan yang nyata merugikan kerajaan dan rakyat Selangor,” kata Rahman dalam sidang media di Yayasan Barisan Nasional, Cyberjaya, hari ini.

Ketika Pakatan Rakyat (PR) mengambil alih Selangor pada 2008, Menteri Besar waktu itu, Khalid Ibrahim telah mengambil alih semula tanah kerajaan negeri yang dimiliki oleh syarikat Mujur Zaman Sdn Bhd dan LBCN Development Sdn Bhd kerana melanggar syarat dan terma perjanjian.

Mujur Zaman Sdn Bhd dan LBCN Develompment Sdn Bhd kemudiannya menyaman kerajaan negeri dan menteri besar di mahkamah tinggi untuk mendapat balik tanah tersebut.

Keputusan mahkamah tinggi pada Oktober 2013 kemudiannya memihak kepada kerajaan negeri dan Khalid.

Selepas itu, dua buah syarikat terbabit merayu ke mahkamah rayuan dan pada Februari 2014 keputusannya turut memihak kepada kerajaan negeri dan Khalid.

Perjanjian penyelesaian di mahkamah persekutuan

Kemudian, ketika Azmin menjadi Menteri Besar Selangor, dua buah syarikat terbabit merayu ke mahkamah persekutuan.

Selepas itu, kedua-dua syarikat tersebut dan beberapa syarikat berkaitan pada September 2015 telah membuat perjanjian dengan sebuah syarikat awam untuk menjual 2.1 ekar tanah pada harga RM1.18 bilion dengan syarat mendapat kelulusan kerajaan Selangor.

Selang beberapa bulan selepas itu, sekitar Mei 2016, Azmin memfailkan satu perjanjian penyelesaian di mahkamah persekutuan bahawa kerajaan Selangor dan dua buah syarikat itu telah bersetuju untuk membatalkan kes terbabit.

Beliau kemudiannya membuat keputusan menyerahkan semula tanah terbabit kepada dua syarikat itu.

Selangorkini melaporkan Azmin telahpun membayar pampasan kepada kesemua 980 peneroka berbentuk pampasan tunai RM180,000 seorang dan sebuah rumah bernilai RM250,000 seorang.

Bagaimanapun Anggota Parlimen Kota Belud itu mempersoalkan di mana baki bernilai RM758.6 juta daripada hasil penjualan tanah itu.

“Jumlah besar pampasan yang diumumkan oleh Azmin bernilai RM421.4 juta. Di mana baki RM758.6 juta,” katanya.





Source link